suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Waris sangkal kemuka borang kebenaran pengebumian palsu, cabar Jais tunjuk bukti

Bapa (kiri), datuk dan bapa saudara kepada jenazah remaja perempuan yang dikebumikan lewat susulan penahanan permit pengebumian, mengadakan sidang media pada Ahad.

WARIS jenazah remaja perempuan yang dikebumikan lewat susulan penahanan permit pengebumian, mencabar Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengemukakan bukti kewujudan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam yang didakwa palsu.

Menerusi satu sidang media pada petang Ahad, Muhammad Hasrul Ghazali yang merupakan bapa arwah Siti Adawiyah, 14, mendakwa dia bertemu dengan pembantu pengurus Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam pada pagi Khamis bagi mendapatkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam sebelum pihak masjid mengeluarkan dokumen berkenaan.

"Saya nafikan, tak pernah wujud permit (borang permohonan) palsu. Saya bawa yang betul iaitu dokumen berwarna kuning dan putih. Kalau ada kata borang palsu, sila buktikan.

"Saya ke masjid untuk dapatkan dokumen daripada AJK masjid dikenali sebagai Ustaz Firdaus yang kemudian meminta saya bawa borang berwarna biru ke kubur. 

"Dalam masa sama, datang seorang wakil kariah dan dia memegang dokumen tersebut. Selepas tunggu lama, saya bawa jenazah anak ke kubur dengan dokumen berwarna kuning dan putih.

“Selepas tunjukkan dokumen berkenaan kepada pihak di tanah perkuburan, jenazah anak saya dibenarkan untuk dikebumikan," ujarnya.

Bagaimanapun jelas Muhammad Hasrul, mereka kemudian dikejutkan dengan kehadiran dua anggota polis di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana selain dimaklumkan kakitangan tanah perkuburan urusan pengebumian perlu ditangguh kerana ada pihak membuat laporan polis.

ARTIKEL BERKAITAN: Rupanya waris serah borang palsu... Jais jelaskan punca jenazah terbiar dalam liang lahad, nafi masjid tuntut RM1,400

ARTIKEL BERKAITAN: Terpaksa buat tahlil walau liang lahad masih terbuka... NGO jelaskan kejadian jenazah dihalang dikebumikan, dakwa permit ditahan

"Saya terpaksa tunggu pihak masjid membawa permit biru... selepas kira-kira satu jam setengah, jenazah dapat dikebumi dengan sempurna," ujarnya sambil menambah, anak sulungnya meninggal dunia kerana kebocoran usus. 

Pada Sabtu, Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata siasatan lanjut mendapati borang permohonan dikemukakan waris kepada pengurusan tanah perkuburan adalah palsu.

Jais turut menegaskan kelewatan urusan pengebumian bukan berpunca daripada pihak masjid, sebaliknya disebabkan kekeliruan waris yang menyerahkan sepenuhnya urusan pengebumian kepada Badan Kebajikan Salaturrahim (BKS), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak mempunyai hubungan dengan pihak masjid.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Muhammad Hasrul sekali lagi menegaskan tidak berlaku kekeliruan daripada waris kerana mereka tidak pernah meminta atau menyerahkan pengurusan jenazah anaknya kepada pihak masjid.  

Wan Shahir (dua, kiri) bersama waris arwah Siti Adawiyah. 

"Saya tak ada minta pihak masjid urus jenazah anak saya. Saya nafikan.

"Sebelum ini pun ada kematian ibu dan adik ipar saya, jenazah kedua-duanya pun diuruskan oleh BKS," ujarnya sambil menyangkal kenyataan Jais bahawa ahli keluarga mereka berkeras mahu jenazah anaknya diuruskan badan kebajikan berkenaan. 

Dalam pada itu, Yang Dipertua BKS, Wan Shahir yang turut hadir dalam sidang media berkenaan mengesahkan pihaknya mendapat panggilan daripada waris sekitar pukul 6.20 pagi (Khamis) untuk menguruskan jenazah.

Menurutnya, pihaknya menguruskan jenazah seperti biasa sebelum dimaklumkan berlaku kekecohan mengenai permit pengebumian. 

"Kami tak meredah lot kubur. Sepanjang pengetahuan, kubur itu di Bawah Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). 

"Sebelum ini kami masuk kubur tiada masalah, tapi sejak Mei 2025, BKS dapat pemakluman, masjid keluarkan surat kepada MPAJ menyatakan mereka adalah pihak yang boleh urus jenazah semata. 

"Pihak masjid perlu akui keberadaan BKS, pimpinan masjid perlu akui kita pernah bersama jaga kebajikan ahli kariah," ujarnya.

Wan Shahir turut meluahkan rasa kesal dan mendakwa imej BKS tercalar susulan insiden berkenaan. 

Justeru, pihaknya menuntut Jais mengemukakan permohonan maaf kepada badan tersebut dan keluarga waris. 

"Mesti ada permohonan maaf sebabkan damage teruk kepada BKS dan waris. Saya akan arahkan peguam sediakan LOD (surat tuntuan) minta pihak yang berkenaan buat permohonan maaf. 

"Kami juga alu-alukan andai kata pihak Jais dan masjid nak bersemuka. 

"BKS juga mahu satu garis panduan atau satu pekeliling yang jelas, seragam di seluruh Selangor untuk elak tanggapan wujudnya kartel pengurusan jenazah," akhirinya.

Artikel Lain