POLIS mengesahkan menerima tujuh laporan berhubung isu pengurusan pengebumian jenazah remaja perempuan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang yang tular di media sosial sejak Khamis.Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, sehingga pukul 5 petang Ahad, pihaknya telah menerima tujuh laporan polis berkaitan isu berkenaan dan siasatan sedang dijalankan. "Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu ini dan memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara telus serta terperinci terhadap semua pihak yang terlibat."Sekiranya terdapat sebarang maklumat, orang ramai boleh menghubungi Ketua Polis Balai Ampang di talian 03-4289 7222," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.ARTIKEL BERKAITAN: Waris sangkal kemuka borang kebenaran pengebumian palsu, cabar Jais tunjuk buktiSebelum ini, mStar melaporkan waris arwah Siti Adawiyah Muhammad Hasrul, 14, yang meninggal dunia pada Khamis kerana kebocoran usus, tampil membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan yang menurutnya telah mencemarkan nama baik keluarga mereka.Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya susulan kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada Sabtu.Pada Sabtu, Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata siasatan lanjut mendapati Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam yang dikemukakan waris kepada pengurusan tanah perkuburan adalah palsu.Jais turut menegaskan kelewatan urusan pengebumian bukan berpunca daripada pihak masjid, sebaliknya disebabkan kekeliruan waris yang menyerahkan sepenuhnya urusan pengebumian kepada Badan Kebajikan Salaturrahim (BKS), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak mempunyai hubungan dengan pihak masjid.Susulan kenyataan tersebut juga, waris mangsa turut membuat sidang media pada petang Ahad bagi menyangkal kenyataan Jais selain menuntut institusi agama itu mengemukakan bukti kewujudan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam yang didakwa palsu.