SUSULAN kontroversi hangat mengenai isu penahanan permit pengebumian hingga menyebabkan jenazah seorang wanita dilaporkan 'tersadai' di dalam liang lahad, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akhirnya tampil memberikan penjelasan sebenar.Menerusi kenyataan pada Sabtu, Jais mendedahkan bahawa Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam yang dikemukakan waris kepada pihak pengurusan tanah perkuburan didapati palsu, sekali gus menyebabkan satu laporan polis dibuat pada Jumaat. Pada masa yang sama, Jais tegas menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pihak Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam mengenakan bayaran RM1,400 kepada waris bagi membolehkan urusan pengurusan jenazah diteruskan.Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati jenazah berkenaan merupakan ahli kariah masjid tersebut yang meninggal dunia pada Khamis lalu.Katanya, pada peringkat awal waris berurusan dengan Badan Kebajikan Salaturrahim (BKS) bagi tujuan pengurusan jenazah dan berhasrat mengebumikan jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana yang terletak di bawah seliaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)."Bapa si mati kemudian berjumpa pembantu pengurus masjid berkenaan pada pukul 10.30 pagi bagi mendapatkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam sebelum pihak masjid mengeluarkan dokumen berkenaan pada pukul 11.15 pagi selepas menerima Daftar Kematian asal."Pihak masjid turut dimaklumkan bahawa datuk si mati berkeras mahu urusan jenazah diuruskan oleh Badan Kebajikan Salaturrahim (BKS)," menurut kenyataan itu.ARTIKEL BERKAITAN: Terpaksa buat tahlil walau liang lahad masih terbuka... NGO jelaskan kejadian jenazah dihalang dikebumikan, dakwa permit ditahanUntuk makluman, BKS ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah.Jais berkata, ketika pihak masjid tiba di lokasi pengurusan jenazah di Surau An-Nur, Taman Cempaka mereka dimaklumkan jenazah sudah dibawa ke tanah perkuburan oleh BKS, sedangkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam serta Daftar Kematian asal masih berada dalam simpanan pihak masjid.Keadaan itu menyebabkan urusan pengebumian tidak dapat diselesaikan kerana waris membawa jenazah ke tanah perkuburan tanpa kedua-dua dokumen yang sah."Urusan pengebumian jenazah tidak dapat diselesaikan sehinggalah pihak masjid dihubungi oleh Pengurusan Tanah Perkuburan Islam, Ukay Perdana memaklumkan jenazah telah berada di liang lahad."Pihak masjid kemudian membawa dokumen yang sah ke tanah perkuburan bagi membolehkan pengebumian disempurnakan," katanya.Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati borang permohonan yang dikemukakan waris kepada pengurusan tanah perkuburan sehingga membolehkan jenazah berada di liang lahad sebenarnya adalah palsu.Jais turut menegaskan kelewatan urusan pengebumian bukan berpunca daripada pihak masjid, sebaliknya disebabkan kekeliruan waris yang menyerahkan sepenuhnya urusan pengebumian kepada BKS yang tidak mempunyai hubungan dengan pihak masjid.Sehubungan itu, Jais menasihatkan masyarakat Islam supaya sentiasa berurusan dengan pihak pengurusan masjid di kariah masing-masing bagi memastikan urusan pengebumian dilaksanakan secara teratur serta mengelakkan kejadian sama berulang.Pihaknya juga menegaskan pendirian mengenai pengurusan jenazah orang Islam hendaklah disegerakan dan tidak dilengah-lengahkan disebabkan kepentingan peribadi mana-mana pihak.Sebelum ini, Yang Dipertua Badan Kebajikan Salaturrahim (BKS), Wan Shahir mendakwa kelewatan pengebumian berlaku selepas permit pengebumian ditahan sehingga menyebabkan jenazah dibiarkan di dalam liang lahad kira-kira satu jam 20 minit. Wan Shahir turut menjelaskan BKS ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar yang menguruskan kebajikan ahlinya termasuk urusan pengebumian dengan bayaran RM50 setiap tahun.