Keadaan BMW 328i Sport yang terbabit dalam kemalangan hingga meragut nyawa dua penuntut universiti di Lebuhraya DUKE pada awal pagi Sabtu. - Foto JBPM KL
DUA penuntut universiti disahkan maut selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam satu kemalangan ngeri, lalu terbakar di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dekat Jalan Kuching, awal pagi Sabtu.Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, nahas berlaku kira-kira pukul 5.10 pagi. Siasatan awal mendapati tiga individu menaiki sebuah kereta jenis BMW 328i Sport, sebelum kenderaan dipandu laju itu hilang kawalan lalu terbabas melanggar pembahagi jalan."Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis BMW 328i Sport yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 22 tahun yang merupakan pelajar Universiti Brisbane, Australia."Turut berada di dalam kenderaan itu ialah seorang penumpang lelaki tempatan berumur 21 tahun yang juga pelajar Universiti Sunway serta seorang penumpang lelaki warga Singapura berumur 20 tahun," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.ARTIKEL BERKAITAN: Inspektor polis pandu Vios masuk lorong bertentangan… Rempuh Odyssey dinaiki guru, dua nyawa melayangUjarnya, pemandu dan penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL).Katanya, kedua-dua mangsa dipercayai terperangkap di dalam kenderaan yang terbakar.Sementara itu, lelaki warga Singapura yang duduk di bahagian penumpang belakang berjaya keluar dari kenderaan sebelum kebakaran berlaku dan mengalami kecederaan ringan pada bahagian tangan serta kaki.Tambahnya, mangsa yang cedera telah dibawa ke HKL untuk mendapatkan rawatan lanjut.Mohd Zamzuri berkata, polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian, mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar tempat nahas serta menjalankan soal siasat awal terhadap mangsa yang terselamat."Proses pengecaman terhadap kedua-dua mangsa yang rentung akan dijalankan melalui analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA)," ujarnya lagi.Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau rakaman kamera papan pemuka (dashcam) di lokasi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.