Kereta dipandu polis berkenaan hilang kawalan sebelum merempuh MPV membawa enam guru di laluan bertentangan. -Foto JBPM Perak
CUBAAN memotong sebuah kenderaan dipercayai menjadi punca kemalangan maut mengorbankan pegawai polis dan seorang guru di Kilometer 29 Jalan Kuala Kangsar-Baling berhampiran Restoran Tasik Raban, Lenggong, Perak, kira-kira pukul 5 petang pada Khamis.Kereta dipandu anggota polis berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang membawa enam guru wanita. Menurut Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman, siasatan awal mendapati pegawai polis berkenaan cuba memotong sebuah kenderaan dalam perjalanannya menghala ke Kuala Kangsar."Keadaan itu menyebabkan Toyota Vios itu bertembung dengan Honda Odyssey dinaiki enam guru wanita yang dalam perjalanan menghala ke Gerik," katanya dalam kenyataan pada tengah malam Khamis.Nahas itu mengorbankan guru Kolej Vokasional Gerik, Zuraida Abu Bakar, 47, dan Inspektor Melvindar Singh Gamum Singh, 41, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu.Tambah Samad, ketika kejadian Honda Odyssey itu dipandu seorang guru wanita berusia 44 tahun, manakala lima lagi guru berusia antara 29 hingga 55 tahun merupakan penumpang MPV berkenaan.Menurutnya, guru yang maut ialah seorang daripada lima penumpang yang berada di tempat duduk belakang kenderaan itu.Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.