suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Siap sedia kena calit air liur dekat sekatan jalan raya... Polis buru pemandu khayal vape ‘Piu Piu’, ‘Magic Mushroom’

Hussein berkata polis bekerjasama rapat dengan KKM dan AADK bagi menangani masalah itu.

BUKIT Aman kini merancang untuk menggunakan kit ujian air liur di sekatan jalan raya (SJR) seluruh negara.

Langkah drastik itu diambil bagi mengesan pemandu di bawah pengaruh cecair vape mengandungi dadah sintetik, yang kini popular dipasarkan dengan nama 'Piu Piu' dan 'Magic Mushroom'.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, langkah itu diambil susulan kebimbangan terhadap kemalangan jalan raya akibat pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah sintetik menerusi penggunaan rokok elektronik atau vape.

Jelasnya, ada pemandu yang tanpa sedar menjadi khayal ketika memandu selepas menyedut bahan sintetik berkenaan.

"Piu Piu dan Magic Mushroom bukan nama dadah tertentu. Ia merupakan istilah komersial yang digunakan untuk memasarkan cecair dadah sintetik yang digunakan dalam peranti vape," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Hussein berkata, polis percaya beberapa kemalangan jalan raya di negara ini berpunca daripada pemandu yang berada di bawah pengaruh bahan sintetik tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Air liur meleleh, cakap merapu macam orang khayal... Abang ipar didakwa berubah gara-gara ketagihan vape

Beliau turut memberi amaran bahawa dadah jenis ini sangat mudah diperoleh secara dalam talian, di premis hiburan, mahupun melalui rangkaian pengedaran dadah.

Kesannya boleh menyebabkan pengguna khayal sehingga menjejaskan pertimbangan mereka secara serius ketika di jalan raya.

"Jika isu ini tidak ditangani segera, kita tidak boleh menolak kemungkinan berlakunya peningkatan kemalangan akibat pemanduan di bawah pengaruh dadah, sekali gus membahayakan lebih banyak nyawa," katanya.

Sehubungan itu, Hussein menggesa pihak kerajaan agar mengambil langkah yang lebih tegas terhadap produk vape bagi membantu pihak berkuasa membendung gejala penyalahgunaan dadah sintetik ini daripada terus menular.

Dia turut memaklumkan JSJN telah memohon kepada kerajaan supaya meluluskan peruntukan bagi mendapatkan kit ujian tersebut, dengan sasaran untuk menggunakannya di sekatan jalan raya menjelang hujung tahun ini.

Polis juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi menangani masalah yang semakin membimbangkan itu.

Terdahulu, Hussein melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan penyalahgunaan dadah sintetik yang dijual menggunakan jenama berkenaan, sambil mendedahkan bahan tersebut turut dikesan dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

"Kami merekodkan 108 kes melibatkan 138 tangkapan di seluruh negara tahun lalu bagi kesalahan berkaitan cecair vape yang dicampur dadah sintetik.

"Sehingga 10 Jun tahun ini, jumlah itu meningkat mendadak kepada 168 kes dengan 267 tangkapan," tambahnya. - The Star

Artikel Lain