SERAMAI 226 individu, termasuk 28 kanak-kanak, dikesan sedang berkumpul di dalam sebuah premis yang disyaki mempunyai kaitan dengan ajaran Syiah, sebelum lokasi tersebut diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menerusi operasi bersepadu di Petaling Jaya, Selangor pada Khamis lalu.Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, operasi hasil maklumat awam itu dilakukan kira-kira pukul 9.34 malam di sebuah premis yang terletak di Pusat Perdagangan Lagoon Perdana. Menurut Shahzihan, tindakan itu dilakukan mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 susulan aduan orang ramai mengenai aktiviti yang mencurigakan di premis berkenaan.Jelasnya lagi, siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 12(c) berkaitan menghina pihak berkuasa agama, Seksyen 13 berhubung penyebaran pendapat yang bertentangan dengan fatwa serta Seksyen 16 berkaitan penerbitan yang bertentangan dengan hukum syarak.Pemeriksaan mendapati 147 lelaki, 51 wanita dan 28 kanak-kanak berada di premis berkenaan, dengan kesemuanya merupakan warga asing dari Pakistan, India dan Bangladesh.Dalam operasi sama, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan Notis Pemberitahuan mengikut Subseksyen 72(1)(a) dan (c), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133] berhubung beberapa ketidakpatuhan berkaitan pendirian serta pengubahsuaian bangunan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.Pemilik premis diberikan tempoh 14 hari untuk mematuhi kehendak notis yang dikeluarkan.Mohd Shahzihan berkata, operasi itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), membabitkan kekuatan keseluruhan 120 anggota.Pihak Jais turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan ajaran Syiah supaya menyalurkannya kepada Hotline JAIS di talian 1800-88-2424 bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.JAIS turut menasihatkan umat Islam agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti berkaitan ajaran Syiah.