suria

Bapa dihukum penjara 165 tahun, mengaku bersalah rogol 2 anak perempuan

Mangsa kes rogol lazimnya akan mengalami trauma seumur hidup. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara selama 165 tahun serta sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dua anak perempuan kandungnya.

Keputusan itu dibuat di Mahkamah Sesyen Lahad Datu pada Rabu (8 April) oleh Hakim Suhaila Selag.

Tertuduh berusia 54 tahun itu berdepan 11 pertuduhan merogol anak kandungnya, dengan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan. 

Hakim turut memerintahkan hukuman penjara terhadapnya dijalankan secara berasingan.

Selain itu, tertuduh dikenakan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan 110 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahril Haja Mohaideen bersama pegawai penyiasat, Inspektor Malati Labpak.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau berkata, lelaki tersebut ditahan susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa di Balai Polis Tawau pada 22 Mac lalu.

"Suspek ditahan kerana merogol dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 22 tahun di beberapa lokasi sekitar Lahad Datu dan Tawau," katanya.

Kedua-dua mangsa telah dipaksa melayani nafsu buas tertuduh sejak mereka berumur 15 dan 18 tahun.

Malah, mangsa diugut untuk dipukul jika mereka enggan berbuat demikian. -The Star

Artikel Lain