suria

Kronologi wanita kena peluk dan raba, siap calit najis dekat ‘seat’ motosikal! Jejak pelaku sampai dapat, puas bagi ‘sedas’ dekat muka

Video tular memaparkan insiden seorang penunggang motosikal diganggu lelaki dipercayai sakit mental.

SEORANG wanita berdepan detik cemas apabila diganggu seorang lelaki tidak dikenali ketika sedang menunggang motosikal berhampiran Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

Lebih mengejutkan, lelaki berkenaan bertindak berani dengan memanjat dan membonceng motosikal mangsa dari belakang sebelum sempat meraba tubuh wanita itu ketika berhenti di lampu isyarat.

Perkongsian mangsa mengenai insiden tersebut tular di media sosial, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai mengenai keselamatan khususnya wanita.

Berkongsi kronologi insiden berkenaan di Threads pada Khamis, gadis tersebut menjelaskan, ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke bank sebelum dihampiri lelaki tidak dikenali yang tiba-tiba duduk di belakang 'seat' motosikalnya ketika sedang menunggu lampu isyarat. 

"Aku blur kejap, lepas tu dia tiba-tiba peluk dan raba dada aku. Aku tepis dan suruh dia turun dari motor. Dia turun dan blah (pergi).

"Aku pusing pergi dekat dia, aku marahlah cakap kenapa buat macam tu? Dia tak jawab, aku suruh dia blah dan aku pun gerak," tulisnya mengimbas insiden yang berlaku pada Isnin lalu. 

ARTIKEL BERKAITAN: Ingatkan budak-budak tak tahu apa... Wanita trauma anak saudara 5 tahun berani selak baju, raba dada ketika tidur!

Wanita itu berkata, dia mengambil keputusan untuk mencari kembali lelaki berkenaan kerana geram dengan tindakannya, sebelum terjumpa 'suspek' sedang berlegar-legar di sekitar kawasan yang sama, dua jam kemudian.

"Nampak dia tengah raba perempuan lain pula. Aku potong lampu merah, berhenti tepi, terus pergi dekat orang (lelaki) tu, aku tolak kemudian bagi 'sedas' dekat muka. Dia lari seberang jalan, aku ikut sambal suruh dia berhenti.

"Aku tanya kenapa buat macam tu, dia tak cakap pun dan jalan ke depan. Aku ikut, tolak dia lepas tu kasi lagi dekat muka. Dia lari, aku kejar dan tolak tapi tak jatuh.

"Aku buka selipar, pergi balik depan dia, pegang bahu dan slack belakang lutut dia, baru dia jatuh," kongsinya.  

Tambah wanita itu, orang awam yang melihat kejadian segera membantunya dan menghubungi pihak polis. 

"Orang tak betul ni cakap aku kacau dia. Hey, engkau yang kacau aku dengan orang awam.

"Kami semua pergi IPD Dang Wangi dan selesai semua dekat IPK Kuala Lumpur. Tamat. Ini tengah tunggu mereka panggil balik untuk keterangan saksi," akhirnya.  

Menurut wanita itu dalam hantaran berasingan, dia kini berada dalam keadaan selamat dan memaklumkan lelaki terbabit telah ditahan pihak berkuasa.

"Alhamdulillah selamat. Dia dah kena tangkap. Kalau dia betul-betul ada masalah mental, dia akan masuk Hospital Bahagia. Kalau tiada masalah mental, akan proceed dekat mahkamah.

"Harimau mati meninggalkan belang, dia pergi meninggalkan bekas tahi dekat seat motor, najis!

"Korang hati-hati tau kalau tengah sorang-sorang, naik motor ke kereta ke jalan kaki ke, sentiasa berhati-hati okay," akhirinya. 

Artikel Lain