Tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Bachok atas kesalahan memiliki kira-kira 100 bahan lucah dalam telefon bimbitnya.
SEORANG pembantu kantin didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Bachok, kelantan pada Khamis selepas mengaku bersalah memiliki kira-kira 100 bahan lucah dalam telefon bimbitnya, awal April lalu.Tertuduh, Siti Munirah Muhamad, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid sebaik pertuduhan dibacakan. Berdasarkan pertuduhan, wanita tersebut didapati memiliki sebuah telefon bimbit jenis Realme 9 yang mengandungi kira-kira 100 rakaman video lucah di sebuah rumah di Kampung Kubang Telaga kira-kira pukul 8 malam.Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.Mengikut fakta kes, serbuan dijalankan sepasukan polis dari Cawangan D11 (Seksual/Cyber) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan bersama beberapa unit lain hasil risikan menerusi Op Cyber Guardian.Hasil pemeriksaan terhadap telefon bimbit milik tertuduh menemukan bahan pornografi yang disimpan dalam peranti tersebut sebelum ia dirampas untuk siasatan lanjut.Laporan forensik kemudiannya mengesahkan kewujudan kandungan berunsur lucah dalam telefon berkenaan.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norizaidah Abdul Salam.Dalam rayuannya, peguam tertuduh memberitahu anak guamnya merupakan ibu tunggal yang hanya memperoleh pendapatan sekitar RM35 sehari, selain mempunyai seorang anak perempuan berusia 15 tahun yang kini dijaga oleh ibu bapanya."Tertuduh menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan serta mahu menjadi contoh yang baik kepada anaknya," katanya.Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut, namun tertuduh dilaporkan telah menjelaskan bayaran berkenaan.