Pesalah disabitkan kesalahan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672). -Gambar hiasan AI
TIGA individu menjadi antara yang pertama dikenakan tindakan tegas apabila didapati bersalah membuang sampah kecil di tempat awam.Ia sekali gus memberi isyarat tiada lagi kompromo terhadap kesalahan tersebut selepas ini. Kesemua mereka yang juga warga tempatan itu didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka sebelum disabitkan kesalahan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) memaklumkan, tertuduh didapati melakukan kesalahan membuang sampah kecil iaitu puntung rokok di tempat awam di bawah Seksyen 77A(1) akta berkenaan.Pesalah pertama dikenakan denda sebanyak RM500 atau satu bulan penjara sekiranya gagal membayar denda serta diperintahkan menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selama 12 jam.Manakala pesalah kedua dikenakan denda sebanyak RM700 atau satu bulan penjara sekiranya gagal membayar denda serta diperintahkan menjalani PKM selama 10 jam.Sementara itu pesalah ketiga dikenakan denda sebanyak RM500 atau satu bulan penjara sekiranya gagal membayar denda serta diperintahkan menjalani PKM selama 12 jam.Sehingga 7 April, SWCorp Melaka telah mengeluarkan 198 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) melibatkan 149 warganegara tempatan dan 49 warga asing. Di peringkat nasional pula, sebanyak 2,154 NPK telah dikeluarkan di tujuh negeri melibatkan 1,655 rakyat tempatan dan 499 warga asing, termasuk 15 pesalah kanak-kanak.SWCorp turut mendedahkan sebanyak 1,736 kes membabitkan kesalahan membuang sampah kecil dikenal pasti, dengan puntung rokok menjadi penyumbang tertinggi.Malah, jumlah kes menunjukkan peningkatan mendadak sehingga 26 kali ganda pada minggu pertama April 2026 berbanding tempoh sama pada bulan sebelumnya susulan operasi penguatkuasaan lebih agresif.Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed berkata, alasan kesalahan kecil tidak lagi boleh diterima kerana perbuatan itu mencemarkan persekitaran dan menjejaskan imej negara.Tegasnya, SWCorp akan terus memperluaskan operasi penguatkuasaan termasuk tindakan pendakwaan bagi memastikan orang ramai mematuhi undang-undang.