suria

Padah sebar maklumat palsu isu krisis tenaga global, 22 individu dipanggil MCMC

Antara individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyebaran maklumat palsu.

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka sebanyak 36 kertas siasatan melibatkan penyebaran berita palsu di media sosial dan media digital, berhubung krisis tenaga global.

Susulan itu, 22 individu ditahan di seluruh negara bagi membantu siasatan. 

MCMC dalam kenyataan pada Rabu turut memaklumkan, daripada jumlah tersebut enam kertas siasatan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya bagi penelitian dan tindakan selanjutnya.  

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan," jelasnya.

Mereka disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Dalam pada itu, MCMC menegaskan pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan media digital yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.

Tambahnya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada.

Justeru itu katanya, orang ramai diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform media sosial dan media digital.

"Selain tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi bagi memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam," tambahnya.

Artikel Lain