suria

Padah tayang ‘anu’ kepada kanak-kanak perempuan, ‘uncle’ penganggur didenda RM7,000

Tangkap layar video tular dua kanak-kanak menjadi mangsa gangguan seksual seorang pemandu pada 1 April lalu.

SEORANG penganggur didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang murid perempuan.

Tertuduh Ong Sheo Ming, 54, yang juga bapa kepada seorang anak itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar.

Mengikut pertuduhan, Ong didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara menunjukkan kemaluan kepada seorang murid perempuan berusia 12 tahun bagi maksud seksual.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tunjuk kemaluan kepada dua kanak-kanak, pemandu Honda Accord 54 tahun ditahan polis

Perbuatan itu dilakukan di kawasan sebuah sekolah kebangsaan di Tampoi pada kira-kira pukul 1.30 petang, 1 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(a)(1) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu dalam rayuannya, Ong yang tidak diwakili peguam meminta agar hukumannya diringankan kerana sudah tidak lagi bekerja, selain menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.

Media terdahulu melaporkan seorang lelaki ditahan selepas didakwa menunjukkan kemaluannya kepada kanak-kanak perempuan yang sedang berjalan kaki dalam kejadian di Bandar Baru Uda.

Menerusi video yang tular, lelaki yang memandu kereta jenis Honda Accord berwarna hitam dilihat berhenti dan bertanyakan sesuatu kepada kanak-kanak tersebut.

Ketika mangsa cuba menghampiri kereta itu, tertuduh menunjukkan kemaluannya menyebabkan kedua-dua kanak-kanak itu bertindak melarikan diri.

Artikel Lain