suria

Ini kronologi tragedi 3 beranak ditemukan maut… Kesan kelar anak lelaki masih ‘fresh’, ada percubaan lupus mayat pasangan suami isteri

Keadaan di dalam rumah di mana mayat tiga beranak itu ditemukan.

POLIS mengesahkan terdapat percubaan melupuskan mayat pasangan suami isteri yang ditemukan maut di Kampung Belau, Merbok di Kedah pada lewat malam Rabu. 

Ia berikutan, terdapat kesan percikan darah di bahagian ruang tamu rumah berkenaan yang sudah dibersihkan.

Selain itu, mayat kedua-dua mangsa berada dalam keadaan tidak sempurna dan mempunyai kesan dipotong. 

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, mayat pasangan suami isteri Zikri Abdul Rahman, 65, dan Suraya Man, 53, itu ditemukan tidak sempurna dan dibungkus menggunakan permaidani serta kain di dapur rumah.

"Polis menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 12.30 malam Rabu yang memaklumkan pasangan suami isteri terbabit sudah tiga hari tidak kelihatan selain terhidu bau busuk sekitar kawasan rumah.

"Siasatan di lokasi mendapati rumah tersebut berada dalam keadaan gelap, ada bau busuk yang kuat dan pintu berkunci dari dalam.

"Kita terpaksa pecah masuk dan menemui dua mayat, pasangan suami isteri, yang berbungkus dan ditutupi dengan permaidani serta pakaian, di kawasan dapur rumah itu.

Polis mengesahkan terdapat percubaan melupuskan mayat.

Polis mengesahkan terdapat percubaan melupuskan mayat pasangan suami isteri yang ditemukan sudah tidak bernyawa.

"Terdapat percikan darah pada kawasan ruang tamu selain tanda percubaan melupuskan mayat kerana terdapat kesan di ruang tamu yang sudah dibersihkan," katanya dalam sidang media di Balai Polis Merbok pada Khamis.

Menurut Hanyan, keadaan mayat pasangan suami isteri itu sudah membengkak dan berbau, dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada 48 jam.

Justeru itu, pihaknya percaya pembunuhan telah berlaku di kawasan lain dan mangsa kemudiannya dikumpulkan di rumah berkenaan.

"Selain keadaan mayat yang terpisah kepala, terdapat kesan anggota badan yang dipotong dan dipercayai dalam proses untuk dilupuskan.

"Selain itu polis turut menemui beberapa senjata tajam dikumpulkan dalam bekas yang diletakkan berdekatan mayat ketiga," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan mayat anak lelaki kepada pasangan terbabit, Muhammad Shakir Zufayri Abdul Aziz, berada dalam keadaan masih baru.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat suami isteri sudah membusuk dibungkus guna karpet, anak lelaki pula ditemukan dengan kesan kelar

Katanya, mayat pemuda berusia 29 tahun itu ditemukan di dalam bilik bahagian atas rumah dua tingkat itu dengan kesan kelar di leher.

Hanyan berkata, siasatan awal mendapati kes menjurus kepada perbuatan bunuh dan suspek juga dipercayai sudah meninggal dunia.

Tambah Hanyan, kejadian dipercayai berlaku antara pukul 8 malam, Isnin lalu sehingga penemuan mayat tengah malam tadi.

"Maklumat diperoleh menyatakan lelaki berusia 29 tahun itu pernah mengalami gangguan mental pada tahun 2018 ke 2019, namun tidak pernah mengganggu masyarakat sekeliling.

"Seorang lagi anak mangsa wanita yang berkerja sebagai tentera, baru sahaja kembali ke rumahnya di Johor, Isnin lalu, selepas pulang beraya di situ," katanya.

Dalam perkembangan sama, Hanyan berkata setakat ini lima orang saksi telah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

"Semua mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Lain