suria

Mayat suami isteri sudah membusuk dibungkus guna karpet, anak lelaki pula ditemukan dengan kesan kelar

Keadaan di dalam rumah di mana mayat tiga beranak itu ditemukan.

TIGA beranak ditemukan sudah tidak bernyawa di dalam rumah mereka di Kampung Belau, Merbok di Kedah pada lewat malam Rabu.

Lebih menyayat hati mayat pasangan suami isteri berusia 65 dan 53 tahun ditemukan dalam keadaan tidak sempurna dan dibungkus menggunakan karpet di bahagian dapur kediaman tersebut.

Keadaan mayat pasangan berkenaan yang sudah membengkak serta mengeluarkan bau tidak menyenangkan membawa kepada kemungkinan mereka telah meninggal dunia beberapa hari.

Manakala mayat anak lelaki mereka berusia 29 tahun pula dijumpai dengan kesan kelar pada leher di dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah.

Ketiga-tiga mayat itu dijumpai hasil gerakan mencari yang dijalankan polis bersama penduduk kampung selepas pasangan berkenaan gagal dihubungi sejak Isnin lalu.

Difahamkan, lelaki berusia 65 tahun itu merupakan seorang pekerja kampung manakala isterinya pula merupakan tukang cuci di sebuah sekolah di Sungai Petani.

Pasangan tersebut dilaporkan baru mendirikan rumah tangga beberapa tahun lalu dan masing-masing mempunyai seorang anak lelaki.

Mereka tinggal bersama anak kandung wanita berkenaan yang merupakan bekas pelajar sebuah universiti di Pulau Pinang, namun tidak menamatkan pengajian dipercayai akibat masalah kemurungan.

Semua mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk proses bedah siasat.

Difahamkan, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat berhubung penemuan tersebut.

 

Artikel Lain