KUOTA Budi Madani RON95 (BUDI95) akan dikurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, bermula 1 April.Perkara tersebut diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan konflik Asia Barat yang mengganggu bekalan minyak dan ekonomi dunia pada masa ini. Anwar bagaimanapun memberitahu harga seliter kekal pada kadar RM1.99."Kita ada pelaksanaan BUDI95, semua negara naikkan harga minya termasuk negara jiran tapi Malaysia ambil keputusan untuk kekalkan harga pada kadar RM1.99."Kita tahu bahawa ia memberi banyak manfaat kepada rakyat, namun kita juga terpaksa mengambil beberapa langkah tambahan."Oleh itu, kerajaan akan membuat pelarasan kelayakan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026," tegas beliau ketika Perutusan Khas Perdana Menteri pada petang Khamis.Menurut Anwar, langkah yang diambil itu adalah bersifat sementara.Malah kata beliau, ia berdasarkan kajian dan penelitian penggunaan bahan api tersebut, yang mana 90 peratus menggunakannya kurang dari 200 liter sebulan."Kita meneliti apakah penggunaan BUDI95 ini mencukupi, kita dapati puratanya adalah sektiar 100 liter sebulan dan hampir 90 peratus menggunakan kurang dari 200 liter sebulan," jelas beliau.Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa had siling penggunaan BUDI95 bagi e-hailing dan pekerja gig dikekalkan kepada 800 liter sebulan.Bagi Sabah dan Sarawak pula, Perdana Menteri menyatakan Diesel subsidi akan terus diberikan pada kadar RM2.15 seliter, meskipun harga pasaran melambung naik.Beliau turut menyeru supaya rakyat bersama-sama membanteras ketirisan dan penyeludupan bahan api bagi membolehkan manfaat diagih secara adil kepada semua.Tambah beliau, bagi mengelakkan ketirisan berlaku, kerajaan akan menghadkan pengisian seperti berikut.1. Kenderaan ringan, pengangkutan darat awam, barangan dan persendirian akan dihadkan kepada 50 liter, bagi setiap pembelian.2. Kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan tidak melebihi 3 tan, maksimum 100 liter setiap pembelian.3. Kenderaan melebihi 3 tan, maksimum 150 liter setiap pembelian.