SEORANG lelaki maut dipercayai ditendang seekor lembu sebelum tercampak ke dalam sungai berhampiran Ladang Batu 2, Kerling, Hulu Selangor pada Sabtu.
Mangsa, 53, sebelum itu ditemukan tidak sedarkan diri oleh pekerja warga asing kira-kira pukul 7.55 pagi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, seorang penolong pegawai perubatan yang dimaklumkan segera ke lokasi dan mendapati mangsa masih mempunyai nadi ketika ditemukan.
Katanya, bantuan pernafasan (CPR) telah diberikan sebelum mangsa dibawa ke hospital bagi rawatan lanjut.
"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan luka pada dahi mangsa.
"Bedah siasat yang dijalankan kemudian mengesahkan punca kematian adalah kecederaan otak traumatik teruk akibat jatuh dari tempat tinggi,” katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Video kejadian itu tular di media sosial [Tonton Video] dengan memaparkan mangsa yang sedang menunggang motosikal tiba-tiba ditendang lembu ketika melintasi haiwan itu.