SEORANG penunggang motosikal dan anak lelakinya maut selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh sebuah pacuan empat roda di laluan bertentangan.
Ketua Polis Daerah Tangkak Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, kejadian berlaku pada 8.10 malam di Kilometer 2.5 Jalan Sialang pada Jumaat.
“Motosikal yang ditunggang lelaki berusia 52 tahun dan anak lelaki berusia tujuh tahun, hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
“Apabila memasuki laluan bertentangan, motosikal mereka kemudiannya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
“Pemandu kenderaan pacuan empat roda berusia 27 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Roslan turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi had laju dan kekal fokus semasa memandu bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya. -The Star