suria

Penceramah dikait kes video seks dilucut tauliah ajar agama sejak 2022

Tiada keistimewaan akan diberikan kepada pesalah jenayah. -Gambar hiasan AI

MAJLIS Agama Islam Selangor (Mais) mengesahkan telah menarik balik tauliah mengajar seorang penceramah bebas yang dikaitkan dengan kes penyebaran video lucah.

Pengerusinya, Datuk Salehuddin Saidin berkata, individu terbabit pernah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada September tahun lalu kerana menyampaikan ceramah tanpa tauliah dan kes itu sedang dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah.

Untuk rekod tauliah mengajar penceramah berkenaan di Selangor sudah ditarik balik sejak 2022.

Tambahnya, seorang lagi individu yang merupakan pentadbir surau turut disiasat kerana menganjurkan program ceramah tanpa mematuhi prosedur yang ditetapkan.

“Mais menegaskan bahawa pihak Jais sentiasa memantau rapat perkara tersebut dan tindakan undang-undang dan tatatertib yang sewajarnya akan diambil terhadap pihak-pihak terlibat.

“Mais menzahirkan rasa kesal terhadap sikap beberapa individu yang masih terus mengajar agama Islam di Selangor walaupun tidak mempunyai tauliah mengajar ataupun tarikh tauliahnya telah luput,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis tahan penceramah bebas, hasilkan video seks bersama 4 isteri

Jelas Salehuddin, sejak 2022, sebanyak 35 tauliah mengajar ditarik balik atas pelbagai pelanggaran syarat, termasuk penglibatan dalam kegiatan jenayah serta memegang jawatan politik.

Namun begitu, masih terdapat penceramah bertauliah yang gagal mematuhi etika penyampaian dan melanggar syarat tauliah, berpunca daripada sikap pentadbir masjid dan surau yang tidak memantau kandungan ceramah yang dijalankan.

“Sikap ini boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat, merosakkan imej Islam dan membuka ruang kepada penyebaran ilmu yang menyimpang,” tegasnya.

Mais menekankan bahawa segala dasar dan keputusan yang diambil oleh pihak berkuasa agama dibuat dengan teliti dan telah diperkenan oleh Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam Negeri.

Terdahulu, seorang penceramah bebas berusia 39 tahun yang aktif berdakwah di media sosial dan sering dijemput berceramah, berdepan pelbagai dakwaan termasuk penyebaran video lucah.

Individu terbabit telah ditahan polis pada 1 Julai lalu.

Artikel Lain