SEORANG pegawai polis berpangkat inspektor dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes rogol serta meminta suapan termasuk habuan seks daripada individu berkaitan siasatan.
Pegawai berusia 29 tahun dan masih bujang itu ditahan susulan dua laporan berasingan dibuat terhadapnya pada 3 dan 4 Julai lalu, termasuk satu aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, memaklumkan siasatan awal mendapati suspek dipercayai menyalahgunakan kuasanya sebagai pegawai penyiasat untuk mendapatkan layanan seksual.
“Saya mengesahkan kes ini masih dalam siasatan. Kita juga sedang menjalankan siasatan dalaman berkaitan pelanggaran disiplin, selain bekerjasama dengan SPRM,” katanya pada Ahad.
Menurut Hanyan, suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan, sebelum diserahkan kepada SPRM untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan yang melibatkan kesalahan merogol individu yang berada di bawah pengaruh atau kuasa penjagaan.
"Siasatan kini tertumpu kepada dua kemungkinan sama ada pegawai itu menggunakan kedudukannya untuk memaksa mangsa, atau wujud hubungan seksual tidak mendapat kerelaan.
“Kita syak suspek menggunakan kuasa dan pengaruhnya sebagai pegawai penyiasat untuk mendapatkan habuan seks,” katanya.