PEMANDU bas yang terlibat dalam kemalangan maut mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik pada awal pagi Isnin, diminta untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada mana-mana pihak.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, tindakan berkenaan dibimbangi menimbulkan spekulasi selain mengganggu siasatan pihak berkuasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar UPSI cerita keadaan dalam bas selepas terbalik, nampak kawan-kawan tak sedarkan diri - “Saya keluar ikut tingkap”
"Kita khuatir kenyataan yang diberikan mungkin akan mengganggu siasatan.
"Kalau boleh, bersabarlah sedikit. Tunggu sehingga kenyataannya direkodkan terlebih dahulu.
"Selepas itu barulah boleh bercakap apa yang dia mahu. Apa pun, kita tidak boleh paksa. Di pihak polis, kita hanya boleh nasihat," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada Rabu.
Sebelum ini, pemandu bas berkenaan mendakwa kenderaan yang dipandunya mengalami kegagalan fungsi brek menyebabkan ia hilang kawalan sebelum terbabas melanggar sebuah Perodua Alza dan penghadang jalan raya pada bahagian kiri.
Dalam pada itu tambahnya, hanya agensi berkaitan yang boleh mengesahkan masalah teknikal yang menjadi punca nahas berkenaan, selain siasatan penuh perlu dijalankan terlebih dahulu terhadap kenderaan yang terbabit.


