suria

Pemandu bas nafi pandu laju, mengaku ‘menjerit’ sebelum kemalangan... Tapi polis dedah ada 18 saman trafik

Keadaan bas selepas terlibat kemalangan yang meragut 15 nyawa pada awal pagi Isnin. -RONNIE CHIN/The Star

PEMANDU bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan tragis sehingga mengorbankan 15 nyawa pada Isnin, mengaku mahir dan arif dengan laluan Jeli-Gerik terutama laluan menuruni bukit.

Malah sebelum kejadian berlaku, Mohd Amirul Fadhil Zulkifle yang menyedari terdapat masalah teknikal pada bas yang dipandunya bertindak menjerit kepada semua penumpangnya supaya berjaga-jaga.

Namun katanya, jeritan supaya bersedia dan berjaga-jaga jika sebarang kemungkinan berlaku itu mungkin disalah tafsir penumpang sehingga ada yang mendakwa dia seolah-olah sedang marah.

Menurut pemuda berusia 39 tahun itu, dia menyedari masalah brek tidak berfungsi lebih awal namun terpaksa meneruskan pemanduan sejauh lebih satu kilometer kerana kegagalan untuk berhenti.

ARTIKEL BERKAITAN: “Rasa bas tu bergerak kiri kanan” - Saksi terjaga daripada lena, nampak jelas pemandu cuba potong lori

ARTIKEL BERKAITAN: Rakaman ‘dashcam’ tunjuk bas memotong laju, tiga saat terseret atas jalan sebelum berhenti - “Dia pintas saya sebelum kemalangan”

Susulan itu, sepanjang tempoh perjalanan berkenaan dia terpaksa mengelak kenderaan di hadapan sehingga terlihat seperti memandu secara melulu seperti beberapa dakwaan yang tular di media sosial.

Namun malangnya, cubaan untuk memastikan keadaan selamat tanpa pelanggaran berakhir tragedi sehingga mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selain turut mengakibatkan kecederaan pada empat beranak dalam Perodua Alza.

Susulan itu seperti yang dilaporkan Berita Harian, dia yang berpengalaman sembilan tahun dalam pengendalian bas tampil memohon maaf kepada keluarga mangsa dan pelajar terlibat.

Malah dia kini dirawat di Hospital Taiping, Perak.

Sementara itu, menerusi Harian Metro, pemandu bas terbabit dilaporkan mempunyai 18 saman yang mana 13 daripadanya dikeluarkan atas kesalahan memandu laju.

Manakala tiga kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar, satu kesalahan kemalangan dan satu tiada lampu brek ketiga.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi portal berkenaan.

Malah beliau turut menyatakan, kesemua 18 saman berkenaan masih belum diselesaikan lagi.

Hasil siasatan juga mendapati bas terlibat mempunyai 21 rekod saman atas kesalahan trafik.

Artikel Lain