SALAH seorang mangsa daripada kereta Perodua Alza merah yang terlibat dalam kemalangan ngeri di Jalan Jeli-Gerik dilaporkan patah tiga tulang rusuk.
Perkara itu dimaklumkan seorang wanita di ruangan komen pada satu posting Facebook yang mendakwa mangsa berkenaan adalah adik perempuannya.
"Adik saya (naik) Alza merah tu, anak (dia) seorang patah kaki, anak kedua tercampak keluar (dari kereta) masuk longkang.
"Masih menunggu keputusan x-ray, tulang rusuk adik saya patah tiga," ujar Nur Syaidatul Azua Mamat.
Komen mangsa mendapat perhatian netizen.
Pada Isnin rakyat Malaysia berduka dengan berita nahas tragik meragut nyawa 15 individu terdiri daripada 14 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan seorang kelindan sebuah bas persiaran yang membawa mereka.
Berdasarkan siasatan awal bas berkenaan hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli–Gerik kira-kira pukul 1 pagi Isnin.
Perodua Alza berkenaan dinaiki sepasang suami isteri berusia 37 dan 36 tahun serta dua anak mereka, seorang perempuan dan seorang lelaki yang berusia enam dan tiga tahun.
Pasangan suami isteri dan anak mereka dihantar ke Hospital Baling, Kedah.
Sementara itu menerusi hantaran yang dibuat Mohd Zaidi Desa di Facebook, difahamkan individu bernama Ustaz Lutfi yang juga pemandu kenderaan terbabit mengalami kecederaan ringan.
Berdasarkan perkongsian dan info di media sosial, difahamkan dia merupakan guru pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Malau, Kedah.
Dalam pada itu, seorang pelayar Facebook lain turut memberi menyatakan dia antara individu yang membantu mangsa daripada Perodua Alza di tempat kejadian.
"Saya yang membantu adik sis serahkan semua beg pakaian keluarga kepada bapa saudara sebelah suami adik sis yang dipanggil Pak Ndak dekat Hentian Gerik, Perak.
"Jauh sangat bapa saudara nak datang dari Baling ke lokasi kejadian dengan jalan gelap.
"Saya nak menghala balik ke Pulau Pinang masa kejadian, jadi saya tumpangkan semua beg adik sis dalam kereta saya.
"Alhamdulillah, semua beg adik sis telah selamat diserahkan pada bapa saudara," ujarnya sambil mendoakan semoga urusan rawatan mangsa sekeluarga dipermudahkan.