suria

“Bau asap kuat waktu Subuh” - Penduduk gempar SM Alam Shah terbakar, blok pentadbiran musnah 100 peratus

Keadaan kebakaran yang berlaku di SM Sains Alam Shah.

TULAR satu rakaman video memaparkan kebakaran berlaku di Sekolah Menengah Sains Alam Shah di Cheras Kuala Lumpur.

Menerusi klip berkenaan, kejadian dipercayai berlaku awal pagi Selasa.

Kelihatan sebuah bangunan terbakar dengan api marak sehingga udara dipenuhi asap hitam berkepul-kepul meskipun keadaan ketika itu sedang hujan lebat.

Situasi lebih membimbangkan apabila kelihatan kilat di lokasi kejadian.

Menerusi satu perkongsian di Facebook pula, seorang wanita memaklumkan dia menghidu bau asap yang kuat sejak pukul 5 pagi.

"Bau asap kuat Subuh tadi, guruh dan hujan pun lebat... berangin lagi.

"Dalam pukul 5 macam tu, rasa tak senang hati dan terus buka page (Facebook) Permaisuri. Allahuakhbar, SM Sains Alam Shah, sekolah asrama penuh.

"Ada anak sahabat baik saya di sana," ujarnya.

Dia yang panik dengan situasi tersebut terus menghubungi rakan bagi bertanya khabar.

Susulan itu, dia dimaklumkan bahawa bahagian asrama tidak terlibat sebaliknya kebakaran berlaku di blok pejabat pentadbiran.

Dalam pada itu, Pasukan Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur (PGO KL) dalam satu kenyataan mengesahkan kebakaran yang berlaku.

Menurut Komander Operasi Kanan PKPgB Noorul Hayat Ahmad Nazri, panggilan kecemasan diterima pada pukul 4.15 pagi.

"Pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian pada pukul 5.08 pagi dan mendapati kebakaran berlaku 100 peratus melibatkan keseluruhan tingkat satu pelbagai bilik.

"Tiada mangsa yang terlibat dan kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 6.18 pagi," jelasnya.

Menurut beliau, operasi melibatkan BBP Bandar Tun Razak dengan bantuan BBP Jalan Hang Tuah, BBP Cheras dan BBP Sentul.

Tambahnya, punca kebakaran masih dalam siasatan unit forensik kebakaran.

Artikel Lain