suria

“Umi, ore nak ngaji luar negara” - Ibu tak lupa hasrat akhir arwah anak lelaki, berat hati hantar naik bas balik UPSI

Arwah Fakhrul (kanan) sempat bergambar kenangan bersama keluarganya sebelum menaiki bas.

RASA berat hati seorang ibu ketika menghantar anak menaiki bas untuk pulang ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selepas sambutan Aidiladha rupanya petanda duka buat dia sekeluarga.

Menurut Yusmaini Yusof, anaknya iaitu Allahyarham Fakhrul Arif Rosdi mengadu tidak sihat dan memaklumkan mahu mengambil ubat demam ketika dalam perjalanan ke UPSI di Tanjung Malim, Perak.

"Masa hantar tu dia memang okey tapi demam, dia makan ubat dan nak tidur (dalam bas).

Yusmaini bersama arwah (tengah) selepas mengambil keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum ini.

"Jadi kami tunggu sampai bas bergerak, dia naik dalam pukul 10.15 malam (Ahad)," katanya ketika dihubungi mStar pada Isnin.

Untuk rekod Fakhrul Arif, 20, merupakan antara 15 individu yang terkorban dalam kemalangan bas persiaran dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Jeli-Gerik awal pagi Isnin.

Difahamkan mangsa maut ditempat kejadian.

Bercerita lanjut kepada mStar, Yusmaini, 51, berkata dia juga masih ingat antara perbualan dengan arwah sebelum menaiki bas.

 

"Dia cakap... umi, ore (saya) nak ngaji luar negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar UPSI cerita keadaan dalam bas selepas terbalik, nampak kawan-kawan tak sedarkan diri - “Saya keluar ikut tingkap”

ARTIKEL BERKAITAN: Senarai nama pelajar UPSI menaiki bas terlibat kemalangan maut di Gerik

"Saya jadi seronok sebab ingat dia pasang impian tu, tapi rupanya... mungkin dia cakap tu, petanda dia nak pergi," ujarnya sebak.

Tambah Yusmaini, ketika pulang bercuti selama dua hari sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, anak keempatnya itu tiba-tiba menjadi ramah ketika menghadiri kenduri di rumah saudara mereka.

Bukan itu sahaja, dia juga bertegur sapa dengan semua orang dan bersalaman sebelum balik.

"Cuti dua hari je, dia banyak diam diri tapi semalam (8 Jun) ada majlis kenduri di rumah abang, semua orang dia salam.

"Dia memang anak yang baik," tambah ibu kepada lima cahaya mata ini.

Bercerita lanjut, ujarnya, arwah yang mesra disapa Angah sudah biasa menaiki bas sejak menuntut di zaman Matrikulasi.

Gambar kenangan Yusmaini sekeluarga bersama arwah (dua kiri) sebelum menaiki bas.

Gambar kenangan Yusmaini sekeluarga bersama arwah (dua kiri) sebelum menaiki bas.

Malah arwah yang kini berada di semester dua jurusan Ijazah Perakaunan sudah beberapa kali berulang alik dari universiti ke kampung menggunakan bas.

Dalam pada itu bapa arwah, Rusdi Yunus, 56, turut mengakui perubahan sikap arwah yang lebih mesra berbanding sebelumnya.

"Daripada dia balik, dia ajak semua makan... cuma bagi saya, dia tak ada tanda-tanda jelas sehinggalah saya menerima WhatsApp memaklumkan sekiranya mempunyai anak terlibat kemalangan.

"Masa tu pukul 4.30 pagi, saya terjaga dan naluri (kebapaan) saya nak tengok telefon... nampak WhatsApp tu terus saya cari maklumat," tambahnya sayu.

Artikel Lain