suria

Nahas FRU: Pemandu lori batu dibebas dari lokap, majikan bayar wang jaminan

Rudi Zulkarnain Mat Radi dibebaskan dari lokap selepas majikan membayar wang jaminan pada Isnin.

POLIS mengesahkan pemandu lori muatan batu yang terbabit nahas mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada Selasa lepas, sudah membayar wang jaminan.

Wang jaminan berjumlah RM6,000 itu dibayar oleh majikannya dipercayai dari Selangor, sekali gus membolehkan tertuduh, Rudi Zulkarnain Mat Radi dibebaskan dari lokap pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, tertuduh berusia 45 tahun sudah membayar wang jaminan yang ditetapkan Mahkamah Teluk Intan, pada pagi Isnin.

"Pemandu lori ini akan diberi jaminan mahkamah, yang mana majikannya sudah membayar wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

"Orang Kena Tuduh (OKT) itu akan dibebaskan sebentar lagi dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Bagi tengok gambar dulu sebelum mati, mana la tahu” - Abang dedah adik pernah beri bayangan meninggal masa bertugas

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai sebak tengok anak koperal FRU usia 12 tahun imamkan jenazah bapa - “Arwah berjaya didik zuriat”

Bakri berkata, pihaknya difahamkan RM6,000 bagi membayar wang jaminan itu diperoleh daripada majikan serta rakan tertuduh secara 'sharing to raise up fund' (dana perkongsian).

Sebelum ini, selagi wang jaminan tidak dibayar tertuduh akan terus ditempatkan di lokap Batu Gajah hingga tarikh sebutan semula kes ditetapkan mahkamah iaitu pada 17 Jun depan.

Rudi Zulkarnain pada 16 Mei lalu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nur Hamizah Shaffiuddin bagi semua semua sembilan pertuduhan memandu dengan cara berbahaya kepada orang awam hingga menyebabkan kematian iaitu sembilan anggota FRU.

Bagi setiap pertuduhan itu, dia berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun namun tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 namun tidak melebihi RM50,000.

Artikel Lain