suria

Juri akui gerun adili masakan Tunku Azizah - “Kalau saya bagi kalah macam mana?”

Tunku Azizah (tengah) menggunakan nama samaran ketika menyertai pertandingan masakan. Siti Rokiah (gambar kecil)

"SELAMA ini orang kata masakan Tunku sedap, jadi selepas saya rasa terbuktilah kata-kata tu, memang betul-betul sedap," kata Siti Rokiah Lebai Rahmat.

Siti Rokiah Lebai Rahmat, 74, adalah juri pertandingan masakan yang menyaksikan acar buah yang dimasak Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dinobat sebagai juara pada Sabtu.

Bercakap kepada mStar, bekas guru masakan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) itu berkata, itu adalah kali pertama dia merasai masakan Tunku Azizah dan tidak menyangka turut mengadili masakan itu. 

Acar buah yang dimasak Tunku Azizah. -Gambar Facebook Kesultanan PahangAcar buah yang dimasak Tunku Azizah. -Gambar Facebook Kesultanan Pahang

"Saya memilih acar buah yang dimasak oleh peserta 'Aminah Mahmood' sebagai juara berbanding 10 lagi peserta bukan kerana sedap semata-mata, tetapi kombinasi bahan yang cukup sempurna.

"Keputusan masakan itu adalah tengah hari dan sekitar pukul 3 petang, Tunku datang. Memang terkejut sangat, tak sangka Tunku menggunakan nama samaran Aminah Mahmood," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Tunku Azizah umum ‘back to school’, netizen sempat bergurau jangan hantar ‘assignment’ saat akhir

ARTIKEL BERKAITAN: Tunku Azizah sakan memborong, siap selak bawah meja cari stok Tupperware! Peniaga booth menggigil tengok, risau tersalah cakap

Siti Rokiah yang berpengalaman hampir 40 tahun dalam bidang itu mengakui dia bukan sahaja terkejut tetapi juga takut sebaik mengetahui makanan yang diadili adalah masakan air tangan Tunku Azizah.

"Takutlah, kalau saya bagi kalah macam mana? Tapi tiada sebab untuk kalah sebab masakan Tunku memang sedap," katanya, memberi pujian ikhlas.

Ini kali pertama saya rasa acar buah yang sedap, sempurna dan lengkap.

SITI ROKIAH

Pada Ahad, Facebook Kesultanan Pahang berkongsi hantaran memaklumkan bahawa juri masakan sempena Karnival Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Pahang terkejut apabila mendapat tahu pemenang pertandingan memasak adalah Tengku Ampuan Pahang.

"Saya dan semua peserta tidak tahu hidangan tersebut milik Paduka Baginda. Semua peserta diberi syarat sama iaitu menyediakan hidangan siap dari rumah dan dibawa ke pertandingan ini untuk dinilai mengikut rasa dan kreativiti. 

Tunku Azizah cukup terkenal sebagai permaisuri yang gemar memasak. -Gambar Facebook Kesultanan PahangTunku Azizah (kanan) cukup terkenal sebagai permaisuri yang gemar memasak. -Gambar Facebook Kesultanan Pahang

"Saya dan pasukan juri memilih acar buah Aminah Mahmood ini bukan kerana sedap semata-mata tetapi kombinasi bahan yang cukup sempurna. 

"Tidak berminyak tetapi kuah yang bersalut dengan rasa buah dan rempah ratus. Ini kali pertama saya rasa acar buah yang sedap, sempurna dan lengkap dengan semua bahan," kata Siti Rokiah. 

 

Artikel Lain