suria

Baru 20 minit keluar lokap, pemandu lori batu ditahan kes curi lembu pula

Rudi Zulkarnain (depan kiri) ditahan semula bersabit kes curi lembu.

PEMANDU lori batu kerikil yang didakwa menyebabkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) minggu lalu ditahan semula bersabit kes curi lembu.

Rudi Zulkarnain Mat Radi ditahan kira-kira 20 minit selepas dibebaskan dengan jaminan mahkamah, apabila majikannya dipercayai dari Selangor membayar sejumlah RM6,000 pada Isnin.

Penahanan semula lelaki berusia 45 tahun itu bagi membantu siasatan kes curi lembu di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan di Hutan Melintang, Bagan Datuk, Perak pada April lalu.

Tangkapan dilakukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk di pejabat kaunter pembayaran jamin sekitar pukul 12.20 tengah hari.

Terdahulu, dia selaku Orang Kena Tuduh (OKT) dibebaskan dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak selepas wang jaminan RM6,000 diserahkan.

Difahamkan, jumlah itu diperoleh daripada majikan serta rakan tertuduh secara 'sharing to raise up fund' (dana perkongsian).

Tarikh sebutan semula kes berkaitan kemalangan yang mengakibatkan anggota FRU maut telah ditetapkan mahkamah pada 17 Jun depan.

 

Artikel Lain