suria

Suami antara suspek kes kehilangan Pamela, polis akan rakam keterangan anak-anak - KPN

Pamela hilang ketika dalam perjalanan untuk memberi keterangan kepada SPRM.

SUAMI kepada Datin Seri Pamela Ling Yueh adalah antara individu yang berkemungkinan menjadi suspek dalam kes kehilangannya, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

"Buat masa ini, kemungkinan itu memang ada, dan mungkin juga ada pihak lain yang terlibat.

"Jika saya tidak silap, kami sudah merakam keterangan lebih daripada 16 individu. Ini termasuk suaminya, yang mana kami telah ambil keterangan pada peringkat awal.

"Kami juga akan merakam keterangan anak-anak mereka yang menetap di Singapura. Buat masa ini, motif kejadian masih belum dikenal pasti," katanya kepada pemberita pada Selasa di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Razarudin turut memaklumkan bahawa suami mangsa masih berada dalam negara.

Tambah Razarudin, kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana penculikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kehilangan Pamela dapat petunjuk baharu, pemandu e-hailing dakwa mangsa diculik individu berjaket polis

Sementara itu, kenderaan yang digunakan dalam penculikan mangsa didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika ditemui selepas satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.

Jelasnya, semakan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan perkara tersebut.

"Fokus kami kini adalah untuk mengesan semua kenderaan yang dikenal pasti terlibat. Setakat ini, semakan dengan rekod JPJ menunjukkan semua kenderaan yang digunakan mempunyai nombor pendaftaran palsu.

"Arahan juga dikeluarkan untuk mengenal pasti semua kamera litar tertutup (CCTV) di Putrajaya, Kuala Lumpur, dan sempadan Selangor bagi mengesan kenderaan yang sepadan dengan kes kehilangan ini."

Sebelum ini, media melaporkan wanita berusia 42 tahun itu diculik ketika dalam perjalanan untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pengubahan wang haram, pada 9 April.  - The Star.

Artikel Lain