KEHILANGAN Datin Seri Pamela Ling Yeuh terus mencetuskan kebimbangan masyarakat berikutan telah memasuki hari ke-27.Beliau merupakan isteri kepada pengasas Kumpulan JoinLand, Datuk Seri Thomas Hah Tiing Siu, sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan dalam pelbagai sektor perniagaan di dalam mahupun luar negara. Wanita berusia 42 tahun ini disahkan diculik ketika dalam perjalanan untuk memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pengubahan wang haram, pada 9 April.Malah dia yang menetap di Singapura bersama suami dan tiga anak, dikatakan berpindah ke Cheras seorang diri sejak siasatan bermula.Berdasarkan laporan, Pamela menggunakan perkhidmatan e-hailing Grab dari Jalan Cheras menuju ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya, pada pukul 1.29 petanng.Lokasi terakhir telefon bimbitnya dikesan berhampiran Lebuhraya MEX, berdekatan Pusat Bandar Putra Permai, 23 minit kemudian.Sekitar 1:57 tengah hari, Pamela menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada peguamnya memaklumkan sedang dalam perjalanan dan dijangka tiba di SPRM pada 2.08 petang.Bagaimanapun, selepas pukul 2 petang, panggilan dan mesej daripada keluarga serta peguamnya tidak dibalas.Susulan itu, pada pukul 3.02 petang, peguamnya membuat laporan polis di Balai Polis Presint 7, Putrajaya, mengenai kehilangan Pamela.Keesokan harinya, peguam Pamela tampil membuat laporan polis kedua di Balai Polis Seri Kembangan.Pada 2 Mei, keluarga Pamela mengeluarkan kenyataan media, memohon bantuan orang ramai menyalurkan sebarang maklumat mengenai keberadaan beliau. Mereka memaklumkan, kereta Grab yang dinaiki Pamela dipintas tiga kenderaan tidak dikenali dan dia diarahkan masuk ke salah satu dari kereta berkenaan.Hari seterusnya, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan, iaitu berkaitan penculikan atau melarikan orang dengan niat untuk mengurung secara salah. Beberapa saksi, termasuk pegawai SPRM dan peguam mangsa, telah dirakamkan kenyataan mereka.Pada 4 Mei, Pamela masih belum ditemui dan usaha pencarian diteruskan.Terdahulu, media difahamkan pasangan terbabit sedang dalam proses perceraian yang rumit di Malaysia dan Singapura, membabitkan harta bernilai tinggi.Menurut peguamnya, Datuk N Sivananthan, Pamela dan suaminya sedang disiasat oleh SPRM berkaitan kes pengubahan wang haram.