SATU pasangan kekasih ditahan berhubung kes kecurian di sebuah kedai emas di Shah Alam, bulan lalu sehingga menyebabkan kerugian lebih RM100,000.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kedua-dua suspek merupakan lelaki berusia 25 tahun dan wanita berusia 23 tahun yang ditahan di Bandar Puncak Alam pada kira-kira pukul 3.20 petang, Jumaat lalu.
"Kita turut merampas barang kemas yang dicuri dan telefon bimbit.
"Kedua-dua suspek tidak bekerja dan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya dalam kenyataan, pada Ahad.
Menurut Mohd Iqbal, kedua-dua suspek direman sehingga Isnin (5 Mei).
Tambah beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
"Kita meminta mereka yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Prabagaran Nair di talian 011-2629 4419," katanya.
Terdahulu, dilaporkan barang kemas bernilai lebih RM100,000 didakwa dilarikan oleh satu pasangan kekasih di sebuah kedai emas di Shah Alam.
Mohd Iqbal berkata, insiden berlaku pada 26 April lalu, apabila dua suspek memasuki sebuah kedai berkenaan dan berpura-pura berminat untuk membeli barangan kemas.
"Ketika jurujual sibuk mengambil pelbagai barangan emas untuk ditunjukkan, suspek wanita bertindak mengambil beberapa barang kemas tanpa disedarinya.
"Kehilangan itu hanya disedari selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), yang menunjukkan mereka mengambil beberapa barang kemas," katanya.
Barang kemas yang dicuri termasuk dua cincin emas dan tiga utas rantai, yang melibatkan jumlah kerugian RM111,743.55.


