LANDASAN Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) ditutup sementara susulan insiden melibatkan sebuah pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Selasa.
Menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), ia terpaksa ditutup bagi memudahkan kerja-kerja mengalihkan pesawat milik TUDM itu serta pembersihan landasan.
"Notis kepada Juruterbang (NOTAM) sudah dikeluarkan dan penutupan dijangka berterusan sehingga jam 10.30 malam ini.
"Sepanjang tempoh ini, semua operasi penerbangan di LTSAH akan terjejas," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
MAHB turut menasihatkan para penumpang, termasuk mereka yang dalam perjalanan menunaikan haji, supaya menyemak maklumat terkini penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing atau Lembaga Tabung Haji.
Tambahnya lagi, lapangan terbang akan memberikan maklumat terkini selepas landasan diisytiharkan selamat dan dibuka semula untuk operasi oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Sehingga kini, tiada maklumat lanjut berhubung jenis insiden pesawat yang berlaku di lapangan terbang tersebut.
Terdahulu, tular video daripada orang awam menunjukkan sebuah pesawat dipercayai tergelincir di landasan lapangan terbang itu. - The Star.


