TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan sebuah pesawat pejuang tergelincir sewaktu mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di Alor Setar, Kedah.
Menerusi satu kenyataan, Bahagian Perhubungan Awam TUDM memaklumkan pesawat jenis Hawk itu berdepan masalah pada bahagian 'nose landing gear' ketika pendaratan, kira-kira pukul 5 petang, Selasa.
"Juruterbang pesawat berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” menurut kenyataan itu.
TUDM juga bakal menubuhkan satu pasukan penyiasatan bagi menyiasat punca kejadian dengan terperinci.
ARTIKEL BERKAITAN: Insiden pesawat TUDM: Landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim ditutup sementara
Insiden itu berlaku ketika pesawat tersebut menjalani latihan 'Opening Gambit' bagi persiapan menjelang Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA '25).
Terdahulu, tular video daripada orang awam menunjukkan sebuah pesawat dipercayai tergelincir di landasan lapangan terbang itu.
Susulan itu Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) turut mengesahkan LTSAH ditutup sementara susulan insiden melibatkan sebuah pesawat milik TUDM.
Ia bagi memudahkan kerja-kerja mengalihkan pesawat milik TUDM itu serta pembersihan landasan.
Notis kepada Juruterbang (NOTAM) sudah dikeluarkan dan penutupan dijangka berterusan sehingga jam 10.30 malam ini.


