suria

Bayi dua bulan kritikal, alami pendarahan dalam kepala disyaki didera

Seorang bayi lelaki disyaki didera. -Gambar hiasan

SEORANG bayi lelaki berusia dua bulan kritikal selepas disyaki didera ibu kandungnya di sebuah rumah di Sungai Petai di Alor Gajah, Melaka.

Perkara itu diketahui ketika ibu berusia 22 tahun itu membawa bayi dalam keadaan tidak sedarkan diri ke Hospital Alor Gajah pada awal pagi Isnin (5 Mei).

Wanita berkenaan memberitahu, anaknya diserang sawan sebelum meninggalkannya di hospital itu.

Bayi berkenaan ditemukan dalam keadaan cedera di bahagian dalam kepala serta luka dan lebam di badannya.

Menurut sumber, bayi itu kemudian dipindahkan ke Hospital Melaka, di mana pakar mendapati terdapat kesan lebam, luka di badan dan leher serta pendarahan lama dan baru dalam kepala.

"Seorang pegawai perubatan kemudian membuat laporan polis kerana mengesyaki bayi itu didera," katanya.

Tambah sumber itu, bayi tersebut kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik di Hospital Melaka.

Susulan laporan itu, polis menahan ibu dan bapa bayi berusia 22 tahun di Hospital Melaka.

Pasangan terbabit berasal dari Semenyih, Selangor dan berpindah ke Melaka untuk mencari pekerjaan.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, pasangan itu akan direman pada Rabu bagi membantu siasatan. -The Star

Artikel Lain