suria

KKR cadang CLAB urus pekerja asing sektor pembinaan

Ahmad Maslan (empat, kiri) merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-20 CLAB. Turut serta Abdul Rafik (tiga, kiri).

KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) mencadangkan semua pekerja asing dalam sektor pembinaan diuruskan sepenuhnya oleh Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB) secara bersepadu.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, cadangan ‘plan A’ itu diusulkan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk dipertimbangkan.

“Maka KSM dan KDN hanya berurusan dengan CLAB, tidak perlu berurusan dengan ramai pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan kesukaran berlaku seperti isu pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Sekarang ini terdapat lambakan pekerja binaan asing apabila keperluan ketika ini adalah 500,000 orang, sedangkan di pasaran ada 600,000. Ini kerana tidak diuruskan dengan baik, sebab itu adalah lebihan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-20 CLAB di Kuala Lumpur, pada Isnin.

CLAB merupakan organisasi yang ditubuhkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), selaras dengan keputusan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pengambilan Pekerja Asing (JKK-PA) pada 2003 untuk membawa masuk dan mengagihkan semula pekerja asing untuk syarikat atau organisasi pembinaan di negara ini.

Selama 20 tahun, kata Ahmad, CLAB menguruskan lebih 221,000 pekerja binaan asing, termasuk menjalankan proses temuduga pekerja di negara sumber, penyediaan tempat tinggal dan pemantauan gaji serta menjaga kebajikan pekerja.

Sekiranya ‘plan A’ tidak dapat dilaksanakan, Ahmad berkata, terdapat pilihan kedua iaitu ‘plan B’ yang mencadangkan semua pekerja binaan asing di bawah projek atau kontrak kerajaan diuruskan oleh CLAB.

Menurutnya, nilai projek bagi sektor pembinaan pada tahun ini adalah RM180 bilion, terdiri daripada kerajaan dan swasta masing-masing RM90 bilion.

“Jika tak dapat RM180 bilion, separuh daripadanya diuruskan oleh CLAB. Ini supaya tidak akan ada lebihan pekerja asing di samping tidak berlaku isu buruh paksa atau penindasan terhadap buruh,” katanya sambil menambah projek-projek itu seperti membina jalan, bangunan, jambatan dan cerun.

Mengenai isu monopoli, Ahmad berkata, perkara itu tidak berbangkit kerana cadangan untuk CLAB hanya menumpukan kepada pengurusan pekerja asing dalam sektor pembinaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CLAB, Abdul Rafik Abdul Rajis pula berkata, pihaknya bersedia untuk menguruskan sepenuhnya pengambilan pekerja binaan asing di Malaysia, bagi mengurangkan masalah lambakan pekerja di dalam industri pembinaan.

“Jika CLAB diberi untuk menguruskan sepenuhnya, pengambilan pekerja binaan asing akan mengikut keperluan pekerja asing yang sebenar.

“Kita akan menguruskan secara berperingkat mengikut keperluan semasa, bagi mengatasi lambakan pekerja,” katanya.

Selain pengambilan pekerja, CLAB juga menguruskan pertukaran pekerja daripada majikan yang tidak lagi memerlukan pekerja, kepada majikan yang memerlukannya.

“Bagi memastikan pekerja binaan yang disediakan berupaya menjalankan kerja-kerja mengikut keperluan majikan, CLAB juga mengadakan temuduga dan ujian fizikal terhadap pekerja binaan asing termasuk mengangkat besi, memotong kayu dan ujian kecergasan lain,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain