suria

Hafiz Mahamad bukan nak jadi hero, enggan staf ralat tak cium Hajar Aswad... Yakin tidak sakitkan diri atau orang lain

Hafiz Mahamad menjelaskan tentang kontroversi di Tanah Suci.

MENYEDARI teruk menerima kritikan ramai, usahawan dan pempengaruh media sosial, Hafiz Mahamad akhirnya tampil menjelaskan tentang video menunjukkan dia berkelakuan agresif di hadapan Kaabah.

Ujar Hafiz, tindakannya itu sekadar mahu memberi peluang kepada ahli rombongannya untuk merasai pengalaman mencium Hajar Aswad.

"Saya tak mahu mereka rasa ralat dan cakap... ala ruginya tak cium Hajar Aswad, tak dapat solat di Hijr Ismail sebab takut tengok situasi ramai orang," katanya menerusi video terkini di Instagram.

Tambah Hafiz yang sudah lebih tujuh kali menjejakkan kaki di Tanah Suci, dia sememangnya menggalakkan kakitangannya berusaha melakukan amalan sunat seperti mencium batu Hajar Aswad meskipun mengetahui kesukaran yang perlu dilalui.

ARTIKEL BERKAITAN: Hafiz Mahamad berhimpit depan Hajar Aswad hingga kain ihram terbuka, bekas mufti kata haram cium jika bahayakan diri

"Apabila ada rezeki bawa mereka datang ke sini, saya selalu terapkan pada team supaya jangan buat food hunting sahaja, jangan fikir kita akan solat di dalam masjid saja.

"Tapi ada perkara-perkara lain, cubalah usahakan untuk pergi. Cuba manfaatkan, cubalah solat dalam Hijr Ismail, cium batu Hajar Aswad, cubalah solat depan Kaabah walaupun dalam keadaan sukar.

"Saya bagitahu mereka begitu sebab tak mahu nanti mereka rasa ralat," tambahnya.

Terdahulu Hafiz mengundang kecaman ramai dan teguran daripada ahli agama tentang perilakunya yang berebut dan berhimpit dengan jemaah lain di depan Hajar Aswad hingga sebahagian kain ihramnya terbuka hingga menampakkan dada.

Rata-rata beranggapan tindakannya itu sebagai berlebihan dan tidak mengikut adab dalam menyempurnakan ibadah.

Susulan itu dia bertindak memadam video berkenaan daripada platform media sosia.

Bagaimanapun Hafiz menegaskan dia mempunyai niat yang baik sebelum berkongsi video berkenaan.

"Ada yang tengok (cakap) teringin nak pergi. Ya Allah rupanya situasi dia macam ni. Kena prepare diri dari segi mental dan fizikal daripada sekarang.

"Jadi niat saya sebenarnya, apabila saya kongsikan perkara tu... yang pertama adalah bukan untuk riak atau takbur.

Tangkap layar rakaman video Hafiz Mahamad di Hajar Aswad.

Tangkap layar rakaman video Hafiz Mahamad di Hajar Aswad.

"Alhamdulillah Allah jemput ke sini lebih daripada tujuh kali tapi tak pernah lagi saya share video macam semalam. Mula-mula saya rasa video tu untuk jadikan kenangan dan boleh wujudkan keberanian juga kepada sahabat-sahabat saya untuk datang ke sini," katanya lagi.

Dalam pada itu, ujarnya, tindakan tersebut bukanlah bertujuan untuk menjadi hero sebaliknya memudahkan ahli kumpulannya termasuk jemaah wanita.

Menjawab ulasan Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menyatakan ibadah sunat tersebut boleh jatuh dalam hukum haram, ujar Hafiz, dia sememangnya sudah mengetahui selok-belok laluan di situ dan tidak menyakitkan diri sendiri mahupun orang lain.

"Memang perkara sunat, kalau memudaratkan baik tak payah... tapi bagi saya apa yang saya terapkan pada pasukan adalah... cubalah.

"Rezeki insya-Allah akan ada apabila berusaha. Walaupun kita tengok keadaan ramai jangan panik tapi usahalah. Mereka yang lead tu harus pakar, harus tahu macam mana selok-belok yang tak menyakitkan orang lain dan sebagainya.

"Video semalam tu saya tahu macam mana nak masuk dengan cara tidak menyakitkan, saya bukan marah tapi keadaan tu bising, jadi saya cakap woman and kids here," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain