suria

Wanita tunggang motosikal dihempap papan iklan… Tulang belikat patah namun stabil

Tangkap layar insiden yang mengakibat Muniammah cedera.

MALANG tidak berbau.

Begitulah situasi yang menimpa seorang wanita apabila dia dihempap papan iklan yang terletak di persimpangan lampu isyarat Tok Gajah, Jalan Jerantut-Maran, Pahang ketika menunggang motosikal melintasi laluan tersebut.

Kejadian yang berlaku pada pukul 3.20 petang Sabtu itu mengakibatkan mangsa, G Muniammah, 57, patah tulang rusuk.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Azman Mat Kamis, berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha dihempap sebuah papan iklan yang melayang ke arahnya.

"Ketika penunggang motosikal itu melepasi lampu isyarat berwarna hijau, secara tiba-tiba angin bertiup kencang dan membadai papan iklan terbabit lalu melayang dan menghempap mangsa.

"Pada waktu kejadian juga berlaku hujan dan angin kencang," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Azman berkata, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan di bahagian dahi, mata dan dihantar ke Hospital Jerantut untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Mangsa yang juga seorang pekerja Alam Flora turut patah tulang belikat (rusuk) akibat kejadian itu dan keadaannya dilaporkan stabil," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain