suria

Myvi terhumban masuk laut... Kereta dinaiki mentua dan menantu terbabas sendiri

Operasi menyelamat dilakukan sejurus menerima panggilan mengenai kejadian. -Gambar Facebook JBPM

MAYAT dua lelaki yang lemas selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke laut berjaya ditemukan pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah awal pagi Ahad.

Insiden pada malam Sabtu itu berlaku di Jalan Batu 7, Kampung Payang, Lahad Datu, Sabah.

Mangsa dikenali sebagai Edwin, 25, dan bapa mentuanya, Chan Wai Hou, 66, ditemukan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan pasukan bomba.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 10.50 malam.

"Kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi dipercayai terbabas sendiri dan terjunam ke dalam laut. Menurut pemanggil, terdapat dua mangsa terbabit dan belum ditemukan.

"Pasukan bomba menjalankan operasi penyelamatan dengan bantuan bot dan penyelam Syarikat Synergy Multi Resources Sdn Bhd," katanya.

Menurut Riki lagi, dua selaman dilakukan oleh pasukan bomba untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa terkorban yang masih berada di dalam kereta.

"Selaman pertama berjaya menarik seorang mangsa keluar dari kereta dan dibawa naik pada 12.06 tengah malam.

"Tindakan seterusnya ialah mengikat tali pada kereta Myvi untuk ditarik menggunakan sistem takal ke kawasan yang lebih cetek untuk mencari mangsa kedua.

"Selaman kedua dilakukan pasukan bomba dan mangsa kedua berjaya ditemui pada 1.31 pagi," katanya.

Riki berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan mayat mereka diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain