suria

Jijik! Ayam diletak atas lantai, pusat sembelihan kotor diarah tutup serta-merta

Ayam diletakkan di dalam bekas air yang kotor. -Gambar FB DBKL

SEBUAH pusat sembelihan ayam di Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur diarah tutup serta merta selepas hasil serbuan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati ia beroperasi dalam keadaan kotor.

Serbuan yang dilakukan Jabatan Penguatkuasaan serta Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL menemui ayam yang sudah siap diproses hanya diletakkan di atas lantai kotor di premis itu.

"Selain itu, air sisa darah, tulang dan bulu juga dilepaskan terus ke longkang awam. Pusat sembelihan ini juga didapati tidak mempunyai loji rawatan air yang sesuai dan air yang digunakan untuk membersihkan ayam juga tidak diganti secara berkala.

ayam 2

Ayam hanya diletakkan di atas lantai premis tersebut. -Gambar FB DBKL

"Selain beroperasi tanpa lesen perniagaan, kesemua pekerja membabitkan warga asing juga didapati tidak mendapatkan suntikan typhoid dan tiada sijil pengendali makanan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Restoran tikus berselera ‘jamah’ ayam goreng diserbu, KKM arah kedai tutup 14 hari

Lokasi ini juga ini juga membabitkan tiga syarikat yang berbeza walaupun berada di lokasi sama.

Justeru, sebanyak tiga notis perintah penutupan premis dikeluarkan oleh DBKL di bawah UUK 28(1) Undang-undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan berkuatkuasa serta merta.

"Selain itu tiga kompaun mengikut Seksyen 47(1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, dua kompaun di bawah seksyen 23(3)(b) dan tiga kompaun di bawah seksyen 33(3) UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 turut dikeluarkan kepada pihak operator," katanya.

DBKL juga akan merujuk kes berkenaan kepada Jabatan Agama Islam, Jabatan Alam Sekitar serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk tindakan susulan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain