suria

Restoran tikus berselera ‘jamah’ ayam goreng diserbu, KKM arah kedai tutup 14 hari

Restoran tular kerana ada tikus 'ratah' ayam goreng diarah tutup 14 hari.

RESTORAN yang tular di media sosial gara-gara seekor tikus yang sedang asyik menjamah ayam goreng diarahkan tutup selama 14 hari.

Arahan tersebut dikeluarkan selepas pemeriksaan dibuat ke atas premis berkenaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Pandan Indah, Kuala Lumpur pada Sabtu

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemeriksaan itu dibuat oleh petugas penguatkuasa ekoran daripada video tular tersebut dan mendapati kebersihan kedai itu berada pada tahap yang mengecewakan.

"Kami mengarahkan tindakan penutupan itu di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dia juga memaklumkan enam kompaun dikeluarkan berikutan pelanggaran prosedur kebersihan dan keselamatan makanan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Sebelum ini rakaman video pendek berdurasi 15 saat yang memaparkan seekor tikus sedang berada berdekatan dengan makanan itu telah mencecah hampir 1.5 juta tontonan di TikTok.

Dr Noor Hisham menegaskan KKM sentiasa mengambil serius isu kebersihan dan keselamatan makanan.

"KKM menyeru orang ramai terutama pengusaha dan pengendali makanan untuk menjalankan tanggungjawab bersama dalam memastikan aspek keselamatan makanan terjaga.

"Ini bagi mengelakkan keracunan dan wabak penyakit bawaan makanan," tambahnya.

Dia juga turut menyarankan agar pengguna memilih premis makanan yang mempunyai logo BeSS (Bersih, Selamat dan Sihat).

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain