suria

Gangguan bekalan air: 55 peratus kawasan pulih setakat 6 pagi Isnin

Beberapa kawasan di Selangor mengalami gangguan bekalan air.

STATUS pemulihan bekalan air di kawasan terjejas berikutan pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir, mencapai 55 peratus setakat pukul 6 pagi Isnin.

Menurut pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza antara satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

Katanya lagi, Sepang mencatat peratus pemulihan bekalan air sebanyak 51 peratus, Hulu Langat 83 peratus, dan Petaling 54 peratus, serta Kuala Langat 93 peratus.

Bermula Ahad bekalan air di empat daerah yang terlibat dengan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi disalur secara berperingkat.

Peratusan pemulihan di beberapa daerah.

“Air Selangor berharap agar pengguna yang mendapat bekalan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan lain berjalan seperti dijadualkan,” menurut Air Selangor di Facebooknya.

Pada Sabtu, LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi dihenti tugas akibat daripada tumpahan pati minyak wangi daripada kemalangan lori membawa muatan itu di Lebuhraya ELITE berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan.

Tumpahan 1,000 liter pati minyak wangi tersebut menyebabkan pencemaran bau dan LRA terbabit terpaksa dihenti tugas bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Berikutan insiden pencemaran bau itu sebanyak 472 kawasan di lima wilayah Air Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain