suria

Bapa bawa anak OKU rompak kedai serbaneka demi RM197 dan 3 kotak rokok

Anak-beranak ditahan selepas terlibat dalam rompakan bersenjata.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki dan anaknya berumur 12 tahun yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) selepas terlibat dalam jenayah rompakan bersenjata.

Rompakan bersenjata anak-beranak itu disasarkan ke sebuah kedai serbaneka 24 jam di Batu Berendam, Melaka.

Namun begitu, remaja itu dibebaskan dengan ikat jamin polis kerana statusnya sebagai OKU.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata anggotanya menjejaki lelaki berumur 32 tahun itu dan anaknya beberapa jam selepas rompakan bersenjata tersebut.

Jenayah itu difahamkan berlaku kira-kira pukul 1.30 petang pada 23 Disember.

"Kedua-dua mereka ditahan di Bukit Piatu pada lewat petang hari yang sama," katanya pada Ahad.

Tambah Christopher Patit, lelaki itu membawa anaknya yang berkelainan upaya dalam kategori lembam ke Taman Sutera di Batu Berendam dengan tujuan konon-kononnya untuk membeli barang.

"Lelaki itu kemudiannya mengacukan sebilah pisau kepada juruwang di kaunter pembayaran sebelum merampas wang tunai berjumlah RM197 dan tiga kotak rokok," katanya.

ACP Christopher Patit menyatakan wang tunai yang berbaki RM187 dan sekotak rokok diambil semula daripada lelaki itu ketika penahanannya.

Lelaki itu akan direman sehingga 28 Disember untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan.

ACP Christopher Patit memaklumkan lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan anak lelaki tersebut hanya melihat dari tepi ketika ayahnya sedang melakukan jenayah itu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain