suria

Tanah runtuh Batang Kali: Operasi SAR ditamatkan

Operasi SAR di lokasi kejadian di Batang Kali ditamatkan pada Ahad.

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor ditamatkan pada pukul 12 tengah hari Ahad.

Ia susulan penemuan mangsa terakhir pada Sabtu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dengan selesainya SAR, pusat operasi yang terdiri daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis dan Angkatan Tentera juga akan ditutup.

"Kita membuat kesimpulan bahawa jumlah mangsa adalah 92 orang.

"Seramai 61 mangsa berjaya diselamatkan, manakala 31 mangsa maut dalam kejadian tanah runtuh,” katanya kepada pemberita di pusat operasi di Batang Kali, pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat mangsa terakhir tanah runtuh Batang Kali ditemukan, masih dalam 'sleeping bag'

ARTIKEL BERKAITAN: Tak jemu kerja di tapak tanah runtuh, ini 6 hero bomba di sebalik operasi SAR Batang Kali

Acryl Sani berkata, selepas mangsa terakhir ditemui pada Sabtu, Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian sehingga pagi Ahad.

"Bagi pasukan SAR, tugas mereka sudah selesai. Tiada mangsa lain yang masih hilang," katanya.

Bagaimanapun katanya, agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Daerah Hulu Selangor masih bersedia untuk menjalankan kerja-kerja teknikal di lokasi kejadian dan kawasan sekitar.

Acryl Sani turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi SAR sejak tragedi yang berlaku pada 16 Disember lalu.

"Saya percaya setiap agensi memainkan peranan mereka yang mengagumkan, selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN20).

"Ia boleh menjadi contoj dan rujukan untuk operasi SAR pada masa akan datang kerana semua agensi bekerjasama secara berkesan dan berfungsi sebagai satu pasukan," katanya. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain