suria

Mentua, menantu lemas: Saksi sahkan mangsa bertengkar sebelum kemalangan

Mayat kedua-dua mangsa dibawa keluar oleh pasukan bomba

POLIS mengesahkan kemalangan membabitkan dua mangsa lemas di Jalan Batu 7, Kampung Payang Lahad Datu, Sabah adalah berpunca daripada kecuaian pemandu itu sendiri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau berkata, berdasarkan keterangan saksi, mangsa dikenali Edwin, 26, dan bapa mentuanya, Chan Wai Hou, 66, telah bertengkar sebelum kemalangan berlaku.

Ujarnya, kedua-dua mereka bagaimanapun telah ditenangkan oleh saksi sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Myvi terhumban masuk laut... Kereta dinaiki mentua dan menantu terbabas sendiri

Susulan daripada itu, saksi meminta mangsa menghantar bapa mentuanya pulang ke rumah dan balik semula ke lokasi untuk mengambil ahli keluarga yang lain yang turut sama berada di lokasi.

"Saksi juga mengakui dia sendiri yang mengiringi mangsa ke kenderaan dan semasa dalam kenderaan mangsa duduk di tempat duduk pemandu manakala bapa mentuanya duduk di bahagian tempat duduk penumpang belakang.

“Pada masa sama tiba-tiba kenderaan tersebut di pandu secara meluru oleh mangsa dan seterusnya terjunam ke dalam laut,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Jimmy lagi, mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba Lahad Datu bersama dengan orang awam yang ada di lokasi kejadian.

Katanya, sampel darah kedua-dua pemandu telah diambil untuk dianalisis oleh pihak Jabatan Kimia Malaysia di Kota Kinabalu.

Ketika ini siasatan masih diteruskan dan kes disiasat di bawah seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mana-mana individu yang melihat kejadian ini, boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Muhammad Rasul Ramlee di talian 089-881255 sambungan 414 untuk membantu siasatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain