suria

Kecoh nama syarikat kena petik, agensi umrah jawab dakwaan tipu jemaah... Tiada tiket ‘flight’, hotel penuh punca masalah

Emraz memberi penjelasan susulan didakwa menipu jemaah umrah.

SYARIKAT pelancongan Emraz Travel & Tours Sdn Bhd (Emraz) berdepan cabaran membawa jemaah umrah ke Tanah Suci gara-gara sukar mendapatkan tiket penerbangan dan juga tempat penginapan di Makkah dan Madinah.

Jurucakapnya berkata, situasi berkenaan disebabkan pemilik-pemilik hotel di Tanah Suci enggan menunaikan janji meskipun pihak agensi pelancongan membuat bayaran penuh kerana mendakwa mereka mendapat tawaran lebih baik.

"Lebih-lebih lagi ketika ini berlaku pertembungan cuti persekolahan di Arab Saudi yang bermula 2 hingga 11 Mac dan cuti sekolah di Malaysia menyebabkan ramai yang mengambil peluang menunaikan ibadah umrah sehingga bilik yang ditempah lebih awal tidak diperoleh.

"Ini merupakan kali pertama keadaan seumpama ini berlaku. Terdapat juga situasi di mana ketika kami mempunyai tiket penerbangan tetapi ketiadaan tempat penginapan dan begitu juga sebaliknya," demikian menurut kenyataan media kepada mStar pada Khamis.

Kenyatan dua muka surat itu dikeluarkan unit komunikasi dan pemasaran Emraz.

Terdahulu kecoh di media sosial tentang dakwaan membabitkan sebuah agensi pelancongan yang didakwa menipu jemaah umrah sehingga mereka melakukan tunjuk perasaan di ibu syarikat berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah bayar RM95,000, hasrat terbang buat umrah tak kesampaian - “Ingatkan hantar tiket, lain yang sampai”

Portal mStar turut menyiarkan luahan seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa penipuan agensi terbabit.

Kata mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ina, bukan sahaja urusan menunaikan umrah dibatalkan, memo yang diterima hanya sekadar kepingan nota dihantar melalui WhatsApp dan dimaklumkan sehari sebelum tarikh penerbangan iaitu pada 28 Februari.

Menjelaskan lanjut tentang kekecohan itu, Emraz berkata agensi mereka berdepan tekanan apabila pihak hotel bertindak menaikkan harga pada saat-saat akhir.

emraz 1

Emraz berkata pihak syarikat sentiasa cuba memberikan yang terbaik untuk menjaga kebajikan para jemaahnya.

"Pihak hotel di sana juga gemar menaikkan harga bilik sewenang-wenangnya di saat-saat akhir.

"Oleh kerana Emraz memberikan tumpuan kepada penyediaan hotel lima bintang dan berjarak 50 meter dari Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, kami mengalami kesukaran untuk mendapatkan bilik pada harga seperti mana yang ditawarkan dalam pakej umrah sebelum ini," jelasnya lagi.

Tambah syarikat berkenaan, sungguhpun berdepan dengan cabaran, pihak mereka cuba mencari kaedah alternatif demi kepentingan para jemaah.

Antaranya, menyediakan tiket penerbangan secara transit, menaik taraf pakej umrah kepada umrah ziarah kepada segelintir jemaah, menaik taraf hotel penginapan dan penerbangan ke kelas perniagaan tanpa mengenakan sebarang kos tambahan bagi keselesaan jemaah.

"Kami juga menambah bilangan hari pakej di Tanah Suci serta bermalam di Taif secara percuma.

"Untuk kemudahan naik taraf dan menjaga kebajikan jemaah, Emraz membelanjakan kira-kira RM3,000 seorang jemaah dan kesemua kos ditanggung sendiri oleh pihak syarikat," jelasnya lagi.

Tambah syarikat berkenaan, situasi yang berlaku ketika ini adalah di luar kawalan dan pihak mereka juga berbincang dengan beberapa buah hotel lain di Makkah dan Madinah bagi mendapatkan bilik penginapan yang mencukupi untuk menampung jumlah jemaah yang semakin bertambah.

"Kami berharap segala usaha yang telah dilakukan dapat meningkatkan lagi keselesaan para jemaah yang ingin menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci.

"Pihak pengurusan Emraz sentiasa bertindak mengikut lunas undang-undang seperti termaktub di bawah Akta Kementerian Pelancongan dan Budaya (Motac) dan bukannya bertindak sewenang-wenang sehingga mengabaikan kebajikan jemaah umrahnya.

"Bagaimanapun, kami ingin mengingatkan kepada mana-mana pihak untuk mendapatkan maklumat yang sahih serta penjelasan daripada pihak syarikat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang spekulasi.

"Pihak pengurusan Emraz juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat berunsur fitnah dan berniat jahat sehingga menjejaskan reputasi syarikat," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain