suria

Gangguan muzik bingit jam 2.45 pagi... Bapa usia 57 tahun dari Melaka maut dirempuh gara-gara minta 2 lelaki perlahankan ‘speaker’ kereta

Mangsa maut apabila dirempuh dan diseret oleh sebuah kereta.

SEORANG lelaki berusia 57 tahun didakwa dirempuh dua lelaki selepas mangsa meminta salah seorang daripada mereka memperlahankan bunyi pembesar suara keretanya.

Anak mangsa yang tidak mahu namanya disiarkan mendakwa bapanya telah bersemuka dengan dua lelaki itu kerana gangguan bunyi muzik daripada kenderaan mereka kira-kira jam 2.45 pagi Isnin.

"Saya percaya kedua-dua lelaki itu dalam keadaan mabuk ketika itu," katanya pada Rabu.

Anak lelaki itu mendakwa pada mulanya dia meminta kedua-duanya berhenti memainkan muzik kuat di tempat letak kereta yang terletak di belakang Plaza Malim, Melaka.

Katanya, bunyi muzik yang kuat itu mengganggu ketenteraman keluarganya yang tinggal di sebuah kampung di Jalan Pokok Mangga, bersebelahan tempat letak kereta tersebut.

“Kedua-duanya meninggalkan tapak pada mulanya dan kembali semula sebelum terus memainkan muzik dengan kuat dengan meletakkan kenderaan mereka di tempat yang sama,” katanya.

Anak mangsa berkata, dia dan ayahnya pergi semula ke lokasi itu untuk memberitahu kedua-dua mereka supaya tidak membuat gangguan pada waktu pagi.

“Bapa saya kemudian dirempuh dan diseret sejauh 20 meter yang menyebabkan dia cedera parah,” dakwanya.

Anak mangsa berkata, dia menghubungi ambulans apabila melihat keadaan bapanya manakala suspek melarikan diri dari tempat kejadian.

“Bapa saya meninggal dunia akibat kecederaan pada pukul 2 petang Selasa di Hospital Melaka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata polis telah menahan seorang warga asing berusia 28 tahun bagi membantu siasatan dan sedang mengesan seorang lagi suspek berusia 27 tahun.

Beliau menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kejadian itu sehingga polis menyelesaikan siasatan menyeluruh. - The Star.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain