suria

Pernah diisytihar sebagai aset, Syed Saddiq umum kucingnya Toby ‘pergi’ mengejut

Momen Syed Saddiq bersama Toby kini tinggal kenangan. Foto: Instagram Syed Saddiq

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Selasa memaklumkan bahawa kucing kesayangannya, Toby telah mati.

Melalui satu hantaran di laman Instagram miliknya, Syed Saddiq memberitahu Toby meninggalkannya secara mengejut.

"Toby, kucing kesayangan saya telah pergi meninggalkan kita. Sangat mengejut. Sangat sedih.

"Saya rindu dia sangat. Terima kasih kerana sentiasa ada bersama saya ketika masa yang sukar.

"Semoga Toby dapat berehat dengan tenang di 'Syurga Kucing'," tulis Syed Saddiq pada ruangan kapsyen hantarannya.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci butiran lain mengenai kematian Toby.

Pada November tahun lalu, Syed Saddiq pernah mengiystiharkan Toby dan seekor lagi kucingnya iaitu Meow Meow sebagai sebahagian daripada asetnya.

Pengiystiharan itu merupakan persediaan calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) itu dikatakan mempunyai harta dengan nilai aset bersih sebanyak RM1.9 juta.

Rata-rata warga maya membanjiri ruangan komen Instagram Syed Saddiq dengan ucapan takziah kerana Toby dianggap sebagai sebahagian daripada keluarganya.

"Oh tidak, Toby si Oyen dah tak ada, semoga tenang di sana.

"Rindu Toby sangat-sangat, rasa macam baru semalam dapat peluk dia yang gebu, semoga dapat berehat dengan tenang di sana.

"Semoga kekal kuat Yang Berhormat (YB), Tuhan lebih menyayangi Toby," ujar beberapa warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain