suria

“Sentiasa melazimi solat berjemaah dan zikir walau tenat...” - Dr Zulkifli sifatkan arwah Hammad anak soleh

Jenazah Hammad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar Raudhah Kota Seriemas, pada pukul 11.30 pagi tadi. Foto: Facebook Dr Zulkifli Al-Bakri

ANAK kedua bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri meninggal dunia akibat kanser sarkoma di rumah ulama itu di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, pada Ahad.

Hammad Zulkifli, 22, meninggal dunia pada pukul 5.22 pagi Ahad (2 Oktober).

Dalam hantaran di Facebook, Dr Zulkifli menyifatkan anaknya sebagai seorang yang soleh.

"Hammad adalah anak yang soleh. Sentiasa melazimi solat berjemaah dan zikir walaupun ketika sedang tenat di atas katil.

"Alhamdulillah, beliau meninggalkan kami di sisi, dalam keadaan yang amat mudah. Beliau meninggal dunia kerana kanser right soft tissue sarcoma stage 4-5," kongsinya.

Jenazah allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar Raudhah Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan pada pukul 11.30 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Terkejut dapat jersi Liverpool, ramai terhibur mufti sopan je ‘melobi’ baju pasukan lain ketika ditanya Raja Permaisuri Agong

"Alhamdulillah, semuanya diuruskan dengan pantas sebagaimana sunnah Nabi SAW.

"Sekalung penghargaan saya ucapkan kepada semua pihak yang membantu samada secara langsung atau tidak langsung, bermula daripada pemandian jenazah sehinggalah kepada pengebumian.

"Kematian menyedarkan kita bahawa kehidupan yang hakiki sebenarnya bermula selepas nafas terhenti," tulisnya lagi.

Terdahulu jurucakap Dr Zulkifli, Mohamad Razif Mohamad Fuad dipetik berkata, Hammad bertarung dengan kanser sejak tiga tahun lalu.

"Dia meninggal dunia beberapa hari sebelum hari lahirnya iaitu pada 10 Oktober.

"Kesihatan beliau semakin merosot sejak awal tahun ini dan beliau berada dalam keadaan kritikal sejak beberapa hari lalu.

"Bagaimanapun, walaupun berdepan dengan cabaran, arwah tetap menunaikan solat fardu lima waktu bersama keluarga dalam keadaan terlantar," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain