suria

MPN beri peluang aktivis salur bantuan lebih baik kepada golongan rentan

Hartini (kiri) berbincang dengan Muhyiddin (kanan) semasa mesyuarat MPN. Turut serta ahli MPN, Datuk Michael Kang.

TANGGAL 18 Mac 2020, tarikh keramat yang diingati ramai rakyat Malaysia iaitu bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memerangi pandemik Covid-19.

Bagaimanapun bagi Datuk Hartini Zainudin, tarikh tersebut terukir dalam ingatannya atas sebab lain.

Ketika berita mengenai 'lock down' tersebar di seluruh negara, Hartini menerima sekurang-kurangnya 300 rayuan untuk bantuan makanan di semua platform komunikasinya.

"Daripada Whatsapp ke Facebook dan platform media sosial lain, permohonan bantuan tidak pernah berakhir. Orang ramai daripada semua lapisan masyarakat meminta bantuan.

"Mereka turut menyertakan video dan gambar-gambar isi rumah yang dilanda kelaparan," katanya dalam nada sebak.

"Telefon saya 'jammed' sepanjang masa apabila banyak mesej masuk dan panggilan tidak pernah berhenti.

"Rayuan itu diperoleh daripada seluruh negara, dengan sebahagiannya dari Kelantan, Terengganu, Pahang dan banyak juga dari Sabah.

"Apabila saya bertanya kepada mereka daripada mana dapat nombor saya... saya difahamkan bahawa ia tersebar kerana orang ramai sedaya-upaya mencari seseorang yang boleh membantu mereka," katanya dalam wawancara khas bersama media, pada Sabtu.

Wakil masyarakat sivil

Beliau yang merupakan Pengasas Bersama Yayasan Chow Kit menyedari keadaan itu bukan sekadar kebimbangan terhadap kesihatan, tetapi juga tentang kebajikan rakyat, terutama nasib golongan miskin tegar.

"Orang ramai tidak meminta makanan secara tiba-tiba. Mereka bertanya hanya apabila sampai tahap kelaparan yang tidak dapat ditahan, dan ini bermakna mereka hidup tanpa sebarang makanan selama berhari-hari," katanya.

Police road block along Federal Highway on 11 days of MCO. Police have increase much strict and stern action against individuals who is seen breaking the MCO ....... SAM THAM/THE STAR

PKP dilaksanakan di seluruh negara pada 18 Mac 2020 bagi memerangi pandemik Covid-19. -gambar hiasan

Beberapa bulan kemudian, Hartini dijemput untuk menjadi sebahagian daripada anggota Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang ternyata memberi kelegaan kepada beliau.

"Ini memberi peluang kepada saya untuk bekerjasama dengan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan juga syarikat-syarikat untuk memanfaatkan rakyat.

"Saya segera bersetuju kerana ia (MPN) memberi saya platform yang lebih besar untuk melakukan sesuatu buat negara.

"Kedudukan saya sebagai ahli jawatankuasa juga bermakna saya kini boleh mewakili masyarakat sivil untuk menyumbang kepada negara terutamanya dalam kecemasan," katanya.

Mengimbas mesyuarat pertamanya dengan MPN pada Ogos 2021, Hartini memberitahu bahawa beliau menghadirinya secara maya semasa berada di Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM).

"Perbincangan bermula dengan kesihatan, bilangan kes Covid-19 dan ekonomi sebelum beralih kepada topik perlindungan sosial.

"Pada masa sama, telefon saya masih dihujani dengan banyak rayuan bantuan makanan, di mana 268 daripada mereka menerusi mesej sahaja," katanya.

Bantuan untuk semua

Hartini kemudian ‘bersuara’ semasa sesi maya berkenaan dan meminta pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya memberi perhatian berhubung perkara itu.

"Saya berkongsi kandungan telefon saya di skrin dan meminta beliau (Muhyiddin) melihat mengenai keadaan sebenar di lapangan.

"Beliau diam seketika sebelum meminta saya membentangkan apa yang saya mahu lakukan," katanya.

MPN 3

Hartini bersyukur menjadi sebahagian daripada MPN. Foto FAIHAN GHANI/The Star

Semasa mesyuarat MPN berikutnya dua minggu kemudian, Hartini membuat pembentangan dan menekankan tentang makanan kecemasan amat diperlukan untuk mereka yang kelaparan.

"Beliau (Muhyiddin) tanya dari mana mereka ini, dan apabila saya beritahu majoriti dari Sabah, Kelantan dan Terengganu, beliau jelaskan bahawa saya tak boleh pilih mana-mana negeri atau kumpulan kerana bantuan perlu disalurkan kepada semua.

"Atas persetujuan, saya kemudian meminta inisiatif ini diterajui oleh NGO dan masyarakat sivil kerana kita benar-benar boleh melengkapkan apa yang dilakukan oleh semua pihak lain, termasuk kerajaan.

"Kami kemudian menghimpunkan NGO di seluruh negara dan meminta bantuan mereka untuk menjayakannya.

"Walaupun dana kami bukan yang terbaik, kami berusaha bersungguh-sungguh menjayakan sesuatu crowdfund bagi mengumpul wang untuk membantu orang lain," katanya,.

Susulan itu Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk inisiatif ini, dengan Yayasan Sejahtera kemudiannya menyumbang sebanyak RM800,000.

Tambah beliau, menjadi sebahagian daripada MPN juga memberinya peluang untuk bertemu ketua kementerian dan agensi, bersama pemimpin-pemimpin industri.

"Saya bersemuka dengan orang yang hanya saya baca di akhbar dan menonton menerusi televisyen.

"Ada kalanya saya juga terkejut kerana tidak pernah membayangkan dapat bersemuka dengan mereka, terutamanya dalam kapasiti saya sebagai aktivis.

"Apabila saya berada di bilik yang sama dengan mereka, saya mengambil peluang untuk bercakap dengan mereka mengenai pelbagai isu yang melanda masyarakat kita.

"Perkara yang terbaik ialah kami semua boleh duduk bersama dan tampil dengan penyelesaian ‘luar kotak’ yang melanda masyarakat kita," katanya.

Beliau juga terharu melihat ahli-ahli politik daripada kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang bersama pemimpin industri berkumpul untuk membantu rakyat Malaysia.

"Sebelum ini, kami (NGO) akan mengambil masa bertahun-tahun untuk membentangkan rancangan atau idea kepada penggubal dasar.

"Walau bagaimanapun menerusi MPN, terdapat sedikit jalan pintas yang membolehkan kami melaksanakan rancangan dengan lebih cepat.

"Masa adalah penting ketika itu, kerana melibatkan risiko nyawa," katanya.

MPN 4

Orang ramai bagi mendapatkan bantuan makanan menerusi program soup kitchen.

Walaupun semua orang beranggapan pandemik sudah berakhir, Hartini berkata sebenarnya terdapat lebih daripada itu yang perlu dilakukan.

"Bagi saya, ia bukan lagi mengenai B40 tetapi sebaliknya B60. Golongan pertengahan yang semakin mengecil.

"Jika anda pergi ke program soup kitchen, ia bukan lagi hanya golongan miskin tegar atau gelandangan, tetapi juga daripada kelas pertengahan kerana mereka memerlukan makanan, selepas membelanjakan wang untuk rumah, kereta dan sebagainya," katanya.

Inisiatif masa depan

Mengenai inisiatif bakul makanan yang dilaksanakan oleh kerajaan, Hartini memuji langkah tersebut tetapi menyatakan bekalan hanya bertahan paling lama untuk selama dua minggu.

Tambahnya, beliau juga bersedia membentangkan inisiatif masa depan kepada MPN semasa mesyuarat akan datang, bagi menyediakan makanan panas kepada keluarga rentan.

"Projek perintis ini akan memastikan isi rumah terpilih bukan sahaja mendapat bakul makanan tetapi juga memastikan mereka mempunyai sekurang-kurangnya satu hidangan panas sehari.

"Ia akan berkisar kepada keseluruhan infrastruktur dan ekosistem pemberian bantuan makanan kepada orang ramai.

"NGO boleh mengenal pasti isi rumah yang terdiri daripada warga emas, sakit, ibu tunggal dan banyak lagi, di mana kami (NGO) boleh bersama-sama membantu," katanya sambil menambah bahawa ia adalah pendekatan pelbagai serampang ke arah menangani isu sosial.

Beliau menjelaskan bahawa ia bukan hanya mengenai ekonomi apabila membincangkan pemulihan negara tetapi masyarakat secara keseluruhan.

"Kita memerlukan usaha kolektif daripada semua pihak untuk membantu Malaysia pulih satu demi satu.

"Syukur, semua cadangan saya kepada MPN diterima dengan baik, dengan yang pertama diluluskan untuk pelaksanaan," katanya.

Ditanya bagaimana beliau akan melakukan sesuatu yang berbeza jika situasi lain seperti Covid-19 berlaku lagi, Hartini berharap jawatankuasa seperti MPN supaya sentiasa bersedia.

"Ini memberikan (kami) akses mudah kepada semua agensi untuk memastikan langkah-langkah yang perlu, dapat dilaksanakan dengan cekap dan tepat pada masanya.

"Kita perlu bekerjasama. Tiada perpecahan, dan ini semua tentang rakyat Malaysia yang bekerjasama. MPN sentiasa menyokong saya, dan saya bersyukur kerana ini," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain