suria

Tragis bapa pulang lihat anak kaku, 2 beradik maut terkena renjatan elektrik ketika mandi

Dua beradik maut dalam kemalangan elektrik ketika mandi di rumah. -gambar hiasan

DUA beradik lelaki berusia sembilan dan 10 tahun maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mandi dalam besen di perkarangan rumah mereka di Kampung Teras Jernang di Sepang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian berlaku pada Jumaat (30 September).

Menurutnya, kedua-dua mangsa merupakan anak kedua dan ketiga daripada empat beradik.

"Bapa mangsa memaklumkan kedua-dua anaknya mandi dalam sebuah besen sebelum dia keluar ke kedai membeli barang keperluan.

"Bagaimanapun, apabila bapa mangsa pulang ke rumah, dia mendapati kedua-dua anaknya tidak sedarkan diri akibat terkena renjatan elektrik," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Wan Kamarul Azran berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berpunca dari renjatan elektrik yang mengalir dari sebatang besi yang merupakan besi penyidai baju.

Menurutnya, Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah membuat pengesahan mengenai punca arus elektrik dan mendapati berlaku geseran dari wayar tepi rumah bapa mangsa terus ke zink rumah.

"Geseran elektrik menyebabkan wayar elektrik terdedah dan arus elektrik mengalir melalui besi penyidai baju.

"Kedua-dua mangsa terkena renjatan elektrik apabila bersentuhan dengan besi penyidai baju yang berada di tempat mandi," katanya.

Beliau menambah, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain